Jawatan bukan kritikal boleh bekerja dari rumah

Jawatan bukan kritikal boleh bekerja dari rumah

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan sektor swasta perlu mengambil langkah praktikal dan segera mengurangkan penggunaan bahan api tanpa menjejaskan produktiviti perusahaan termasuk dengan melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi jawatan tidak kritikal.

Antara langkah praktikal lain boleh dilaksanakan bagi menjimatkan penggunaan bahan api adalah dengan menggalakkan amalan berkongsi kenderaan atau carpool dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam ke tempat kerja.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, perkembangan geopolitik semasa khususnya di Asia Barat meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.

Katanya, MEF turut menggesa majikan menilai semula amalan operasi khususnya dalam aspek logistik dan perjalanan perniagaan supaya lebih efisien.

“Majikan perlu mengoptimumkan perancangan logistik melalui pengurusan laluan yang lebih baik, meningkatkan kecekapan muatan, dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu. Penggunaan platform mesyuarat maya perlu dipertingkat bagi mengurangkan keperluan perjalanan fizikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, MEF menggalakkan perniagaan mempercepat peralihan ke arah amalan mampan dan penyelesaian tenaga alternatif.

“Majikan perlu mula melabur dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, serta meneroka penggunaan kenderaan elektrik secara berperingkat jika sesuai. Penubuhan pasukan dalaman untuk mengenal pasti strategi penjimatan bahan api juga pen­ting,” katanya.

MEF turut menekankan kepentingan membudayakan penjimatan tenaga dalam organisasi.

“Selain dasar dan langkah operasi, perubahan minda juga penting. Majikan perlu mendi­dik dan melibatkan pekerja bagi menerapkan penggunaan tenaga secara bertanggungjawab sebagai nilai bersama organisasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan segala dasar tersebut termasuklah BDR perlu bersifat pragmatik, berperingkat dan mengambil kira realiti setiap sektor.

“Pendekatan satu untuk semua tidak praktikal. Setiap industri mempunyai kekangan operasi berbeza dan perniagaan perlu diberi fleksibiliti untuk melaksanakan langkah yang sesuai dengan keperluan ma­sing-masing,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan sektor swasta turut me­laksanakan dasar BDR sebagai langkah penjimatan penggunaan bahan api susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dengan Iran di rantau Teluk.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, dasar BDR secara berperingkat di sektor pengilangan boleh dipertimbangkan sebagai langkah persediaan sekiranya krisis Asia Barat semakin serius.

Namun, katanya, bagi sektor pembuatan, pelaksanaan BDR tidak boleh dibuat secara menyeluruh kerana bergantung kepada jenis industri dan kerja.

“Banyak tugas di bahagian pengeluaran memerlukan pekerja hadir secara fizikal dan tidak sesuai dilakukan dari rumah, manakala fungsi soko­ngan se­perti pentadbiran, kewangan dan perancangan lebih mudah dilaksanakan secara fleksibel.

“Syarikat yang sudah mempunyai aturan kerja fleksibel tentunya lebih bersedia jika keadaan memerlukan, sementara syarikat yang belum ada pengaturan seperti ini boleh mula menilai keperluannya sebagai langkah persediaan dan kesinambungan operasi perniagaan.

“Pada pandangan FMM, sebarang pelaksanaan BDR dalam sektor swasta perlu dibuat secara praktikal, berperingkat dan mengikut kesesuaian operasi masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN