KUALA TERENGGANU: Mempunyai lebih 40 tahun pengalaman menjahit baju kurung dan kebaya, seorang tukang jahit wanita berbangsa Cina di Kampung Cina di sini, menjadi pilihan pelanggan Melayu untuk menempah busana Hari Raya Aidilfitri.
Lee Ya Lian, 75, berkata, dia dibantu lima pekerja untuk menyiapkan tempahan baju kurung untuk sambutan lebaran tidak lama lagi.
“Mereka menempah baju kurung dan kebaya. Boleh dikatakan, sepanjang tahun ada tempahan, namun apabila tiba musim perayaan, tempahan bertambah sekali ganda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ya Lian berkata, ketelitian jahitan memberi kepuasan kepada pelanggannya yang mendorong mereka untuk datang lagi pada masa akan datang.
“Ada ramai pelanggan tetap yang sudah bertahun-tahun menempah baju di kedai saya. Dulu ketika masih muda, saya buat pelbagai fesyen baju. Namun sekarang, sudah tidak mampu buat fesyen yang susah- susah. Hanya baju kurung dan kebaya,” katanya.
Ya Lian bersama pekerjanya sedang menyiapkan lebih 300 pasang baju ditempah pelanggan. – UTUSAN










