Harga simen catatkan peningkatan 1.1 peratus - Utusan Malaysia

Harga simen catatkan peningkatan 1.1 peratus

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan pada antara 0.2 peratus sehingga 1.1 peratus pada Februari berbanding bulan lepas berdasarkan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi bagi bahan itu telah direkodkan di Kuching sebanyak 1.1 peratus dan Perak (0.4 peratus).

Menurutnya, indeks harga seunit batu baur turut mencatatkan sedikit peningkatan pada Februari 2026 dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1 peratus hingga 3.4 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Selain daripada itu, indeks harga keratan keluli dan logam mencatatkan peningkatan kecil pada Februari 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.3 peratus hingga 1.6 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Indeks harga seunit besi pula menunjukkan penurunan pada Februari 2026 iaitu antara negatif 0.2 peratus sehingga negatif 1.4 peratus berbanding bulan lepas.

“Perbandingan tahunan untuk tempoh Februari 2025 dan Februari 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi telah merekodkan penurunan antara negatif 1.2 peratus hingga negatif 8.1 peratus bagi kebanyakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan telah dicatatkan di Kuching (-8.1 peratus), diikuti dengan Sibu (-7.1 peratus) dan Miri (-6.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Selain daripada itu, katanya, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 0.8 peratus hingga 5.9 peratus pada Februari 2026 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Peningkatan itu direkodkan bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan di Pahang (5.9 peratus), diikuti dengan Perak (5.5 peratus) dan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (5.1 peratus),” ujarnya.

Beliau berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars mencatatkan penurunan negatif 1.4 peratus.

“Ini dengan purata harga RM3,404.40 bagi setiap tan metrik berbanding RM3,454.00 per tan metrik bulan sebelumnya.

“Tambahan daripada itu, purata harga bagi simen Ordinary Portland pula telah merekodkan peningkatan kecil (0.2 peratus) dengan purata harga RM25.35 per 50 kg sekarung berbanding RM25.30 per 50 kg sekarung pada Januari lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, perbandingan bulanan IKB, termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia pada Februari mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.5 peratus.

“Ia direkodkan di kawasan iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta diikuti dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Namun begitu, peningkatan kecil IKB termasuk bar keluli antara 0.1 peratus hingga 0.4 peratus telah direkodkan di Perak dan Johor,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN