Guna ‘alcolock’ bendung pemandu mabuk

Guna ‘alcolock’ bendung pemandu mabuk

KASTHURI PATTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia disaran mencontohi amalan terbaik negara maju termasuk penggunaan peranti pengunci alkohol (alcolock) serta pendekatan pencegahan menyeluruh dalam usaha membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang semakin membimbangkan.

Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, negara seperti Sweden, Belgium, Finland, Perancis, Denmark, Lithuania, Poland, Itali, Australia, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan New Zealand telah melaksanakan penggunaan alcolock khususnya terhadap pesalah berulang.

Beliau berkata, peranti itu mengukur tahap alkohol melalui hembusan nafas sebelum kenderaan boleh dihidupkan.

Katanya, di Itali, pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan diwajibkan memasang alcolock pada kenderaan dengan kos sehingga 2,000 Euro (kira-kira RM9,238.20) bagi tempoh tertentu, manakala penggantungan lesen secara serta-merta turut terbukti berkesan di kebanyakan negara.

“Pendekatan pencegahan turut dilaksanakan di Perancis apabila premis seperti kelab malam, bar dan restoran diwajibkan menyediakan alat ujian nafas alkohol kepada pelanggan sebagai peringatan had undang-undang.

“Selain itu, kempen kesedaran seperti inisiatif SAM yang membawa mesej ‘pemandu tidak minum’ turut digerakkan dengan kerjasama industri minuman bagi menggalakkan pemanduan selamat.

“Di Eropah juga, langkah praktikal seperti menyimpan kunci kenderaan pemandu mabuk, menyediakan tempat bermalam atau membantu mendapatkan pengangkutan alternatif dilaksanakan bagi mengelakkan risiko kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasthuri berkata, Malaysia memerlukan pelan jangka pendek dan panjang termasuk tempoh lima hingga 10 tahun bagi menangani isu pemanduan mabuk secara komprehensif dengan sokongan kerajaan, industri dan masyarakat.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang yang lebih kerap dan konsisten termasuk pemeriksaan mengejut oleh pihak berkuasa perlu dipertingkatkan.

“Selain itu, cadangan penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota penguat kuasa bagi memastikan bukti kes lebih kukuh.

“Undang-undang yang ketat sahaja tidak mencukupi tanpa usaha pencegahan, pendidikan dan kesedaran awam yang berterusan.

“Ini bukan perang terhadap alkohol semata-mata, tetapi terhadap pemandu mabuk yang membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak termasuk masyarakat dan industri memainkan peranan bagi memastikan usaha membanteras gejala tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan, sekali gus melindungi keselamatan pengguna jalan raya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN