Empat direman kes serang Zamri Vinoth - Utusan Malaysia

Empat direman kes serang Zamri Vinoth

EMPAT suspek (termasuk yang memakai baju lokap polis berwarna ungu) diiringi oleh anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Empat lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun direman dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes serangan melibatkan pendakwah bebas, Zamri Vinoth, baru-baru ini.

Perintah reman terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 506 kanun yang sama iaitu berkaitan ugutan jenayah.

Difahamkan, kesemua suspek yang diwakili tiga barisan peguam diketuai oleh V. Parthiban hadir menyerah diri di balai polis kira-kira pukul 1 pagi tadi sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Parthiban ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, pihak pembelaan sekali lagi menunjukkan rakaman video kejadian yang tular kepada majistret bagi menjelaskan situasi sebenar insiden tersebut.

Menurutnya, pengadu mendakwa penyerangnya memegang batu dan kayu, namun, rakaman video berkenaan tidak menunjukkan mana-mana individu yang memegang objek tersebut.

“Rakaman yang sama juga memperlihatkan individu yang didakwa menyerang tertumpu di bahagian pemandu kereta, sedangkan pengadu mendakwa kerosakan berlaku di bahagian kiri kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berhujah bahawa Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan ugutan jenayah tidak terpakai dalam kes berkenaan.

Sebelum ini, dua beradik turut direman secara berasingan bagi membantu siasatan kes yang sama, namun, kedua-duanya telah dibebaskan selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada pihak polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN