Bersatu tuntut Muhyiddin kembali jadi Pengerusi PN

Bersatu tuntut Muhyiddin kembali jadi Pengerusi PN

DR. AFIF BAHARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dikembalikan kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Pas memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu membuka lembaran baharu dalam perjalanan PN.

Katanya, ketika ini, PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi, sebaliknya seorang pemimpin yang mampu menyatukan, menenangkan keadaan dan membina semula kekuatan gabungan dengan berpaksikan prinsip serta matlamat lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.

“Sebab itulah ramai melihat bahawa sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi.

“Sejak penubuhan PN, Tan Sri Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas. Beliau adalah titik temu yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.

“Dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan musyawarah,” katanya.

Afif berkata, landskap politik telah berubah dan PN memerlukan semula kepimpinan yang mampu menarik sokongan rakyat lebih luas bukan hanya penyokong tegar parti, tetapi golongan Melayu moderat, pengundi atas pagar, anak muda profesional dan rakyat yang mahukan kestabilan.

Katanya, kekuatan PN dalam pilihan raya lalu tidak datang daripada satu parti semata-mata, namun ia lahir daripada gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat gabungan tersebut sebagai alternatif kepada politik patronage (naungan) dan kegagalan kerajaan semasa.

“Tan Sri Muhyiddin mempunyai kredibiliti untuk membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif. Melayu yang kuat sebagai teras negara, tetapi pada masa sama menjadi payung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecahkan. Kepimpinan yang membina jambatan, bukan tembok.

“PN juga memerlukan seorang pemimpin yang boleh melihat jauh ke hadapan, mengurus perbezaan dengan hikmah dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat,” katanya.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan percaya penyokong PN akan bersetuju dengan seruan mengembalikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN