PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan teras perjuangannya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diambil atas kapasiti Bersatu sebagai parti pengasas kepada wujudnya PN.
Katanya, Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendukung hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia.
“Ahli parti dan rakan seperjuangan harus fokus kepada usaha memperkukuhkan PN. Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini.
“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama-sama kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memberi respons kepada keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, Muhyiddin berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan tersebut.
Katanya, kerjasama dengan Pas dibina atas semangat dan persefahaman yang luhur, namun dihentikan.
“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak Pas,” katanya.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pas secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu diputuskan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. – UTUSAN










