KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan susulan dan pendirian yang diambil di peringkat negeri, susulan penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausahanya, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, buat masa ini pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan sebarang keputusan lanjut bergantung kepada perkembangan semasa.
Kata beliau, kedudukan pemimpin Bersatu dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris belum diputuskan.
“Setakat ini (pentadbiran) terus seperti biasa. Mengenai kedudukan Datuk Razali, kita tengok perkembangan semasa. Insya-Allah, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan selanjutnya di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.
Keputusan berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas yang turut memperakukan ketetapan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, gabungan Perikatan Nasional (PN) memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
Pecahan kerusi tersebut melibatkan parti komponen PN ketika itu menyaksikan Pas menguasai 27 kawasan dan Bersatu lima kerusi.
Untuk membentuk kerjaan negeri dengan majoriti mudah, mana-mana parti atau gabungan politik memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi.
Semasa pilihan raya itu, Razali menjadi giant killer selepas menewaskan penyandang kerusi DUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said. Beliau kemudian dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada penggal ini. Ia adalah julung wakil Bersatu dilantik ke jawatan itu.
Sementara itu, Razali yang dihubungi Utusan Malaysia melalui aplikasi WhatsApp meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kekal bertenang susulan perkembangan politik tersebut.
“Tenang, sabar dulu,” katanya ringkas.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu turut memuat naik perkataan ‘Alhamdulillah’ dalam platform media sosial miliknya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan terkini landskap politik negara. – UTUSAN










