Ahmad Samsuri gagal - Tun Faisal

Ahmad Samsuri gagal – Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan memastikan konflik dalaman gabungan ditangani secara berkesan.

Kegagalan Ahmad Samsuri antara faktor memburukkan hubungan Pas dengan Bersatu, sehingga membawa kepada keputusan pemberhentian kerjasama politik.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sejak Ahmad Samsuri memegang jawatan tertinggi itu, pertikaian demi pertikaian muncul tanpa sebarang penyelesaian sewajarnya menerusi saluran dalaman.

“Sejak 103 hari memegang jawatan, Ahmad Samsuri gagal menyelesaikan kemelut dalaman yang menyerlahkan kelemahan kepimpinan dalam PN.

“Sebagai Naib Presiden Pas, beliau berdepan kekangan untuk membuat keputusan secara muktamad kerana perlu merujuk kepada Presiden Pas dan Majlis Syura terlebih dahulu.

“Keadaan ini menyebabkan banyak isu penting dalam PN tidak dapat diselesaikan melalui saluran gabungan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Faisal mengulas keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu seperti diumumkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi, selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Menurut Tun Faisal, keputusan itu bukan sesuatu di luar jangkaan, susulan perkembangan politik kebelakangan ini.

Katanya, sejak beberapa minggu lalu, Ahmad Samsuri kurang tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa isu penting termasuk perkembangan politik di Negeri Sembilan, isu rakyat serta kemelut dalaman PN.

Tun Faisal berkata, beliau difahamkan bahawa pemimpin Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) cuba bertemu Ahmad Samsuri bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan terbuka Abdul Hadi, sebelum ini.

Katanya, sehingga kini pemimpin-pemimpin komponen belum mendapat maklum balas sewajarnya.

“Keadaan ini akhirnya menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kepimpinan beliau sebagai Pengerusi PN dalam memastikan gabungan itu dapat berfungsi dengan baik, membuat keputusan secara berkesan dan menangani konflik yang timbul dalam kalangan parti-parti anggotanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN