PETALING JAYA: Rekod kehadiran ahli Parlimen perlu didedahkan kepada umum selepas kegagalan meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, kelmarin.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Raymon Ram berkata, rekod itu perlu didedahkan setiap hari dan perlu menunjukkan sama ada tidak hadir dengan kebenaran atau tidak.
Beliau berkata, ia akan memastikan wakil rakyat bertanggungjawab terhadap kehadiran mereka, terutamanya apabila melibatkan undian penting mengenai pindaan Perlembagaan, RUU perbekalan dan usul percaya.
“Parlimen juga perlu mewajibkan ahli Parlimen memberikan alasan bertulis jika tidak hadir semasa undian penting dan alasan tersebut didedahkan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dewan Rakyat gagal meluluskan pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun selepas gagal mendapat dua undi untuk mencapai majoriti dua pertiga daripada 148 undi yang diperlukan.
Seramai 44 ahli Parlimen mengundi berkecuali manakala 32 tidak hadir termasuk lapan ahli Parlimen kerajaan.
Raymon berkata, ketidakhadiran tanpa alasan munasabah mesti diikuti dengan tindakan sewajarnya, termasuk merujuk ahli Parlimen ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, penalti kewangan serta tindakan disiplin di peringkat parti.
“Apabila cadangan reformasi sebesar ini gagal, kehadiran dan penyertaan ahli Parlimen menjadi perkara serius daripada segi Perlembagaan, bukan sekadar kemudahan politik.
“Tidak kira daripada parti mana, ketidakhadiran tanpa alasan jelas semasa undian penting melemahkan akauntabiliti demokrasi, menjejaskan reformasi institusi dan mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap Parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang tertinggi negara,” katanya. – UTUSAN










