PANEL solar di ladang petani Australia, Tom Warren kelihatan seperti panel biasa, sehingga ada yang menyedari keunikannya apabila melihat puluhan biri-biri meragut dan berehat di bawahnya.
Haiwan ini bukan sahaja membantu negara itu beralih kepada tenaga hijau, malah turut memberi pendapatan yang baik kepada Warren.
Lebih daripada 30,000 panel solar dipasang merentasi kira-kira 50 hektar di ladang Warren di pinggir Dubbo, sekitar 400 kilometer barat Sydney.
Petani dan pemilik tanah ini bekerjasama dengan syarikat tenaga boleh diperbaharui, Neoen lebih daripada satu dekad itu berkata, beliau pada awalnya bimbang panel itu akan mengehadkan kawasan meragut biri-biri.
Namun kebimbangan itu ternyata tidak berasas.

“Biasanya biri-biri akan mencari pokok dan berteduh di bawahnya, tetapi anda boleh lihat biri-biri kini mencari teduhan di panel solar. Jadi, ia juga memberikan persekitaran yang lebih baik untuk mereka,” katanya kepada AFP di ladangnya di Dubbo.
Ladang itu menghasilkan kira-kira 20 megawatt tenaga, satu jumlah yang besar untuk keperluan tenaga tempatan.
Warren tidak mendedahkan pendapatannya daripada panel solar, tetapi mengakui ia jauh lebih tinggi berbanding hasil daripada pertanian saja.
“Pendapatan ladang solar lebih tinggi daripada apa yang saya boleh peroleh daripada pertanian di sini, tidak kira sama ada menempatkan biri-biri di bawah panel atau tidak,” katanya.
Panel solar turut memberikan kesan sampingan yang mengejutkan kerana rumput terlindung daripada cuaca, kualitinya lebih konsisten, sekali gus meningkatkan kualiti bulu biri-biri.
“Bulu sebenarnya lebih baik dan bersih. Secara keseluruhan, kami mencatat kira-kira 15 peratus peningkatan hasil kasar daripada biri-biri yang meragut di bawah ladang solar,” kata Warren.
Petani lain, Tony Inder dari Wellington yang terletak kira-kira 50 kilometer di selatan turut bersetuju dengan Warren. Kawanan biri-birinya jauh lebih besar, sekitar 6,000 ekor yang meragut di dua plot tanah seluas 4,000 hektar.
“Jika ingin mendapatkan bulu biri-biri berkualiti, ia memerlukan diet konsisten supaya bulu tumbuh sekata.
“Di bawah panel, kerana teduhan dan kehijauan yang konsisten, kami dapat menyediakan makanan yang lebih stabil, yang seterusnya menghasilkan bulu yang lebih baik,” katanya.
Berbeza dengan Warren, Inder tidak memiliki tanah yang dipasang panel solar, tetapi pemilik tanah membenarkan dia menggunakannya secara percuma. Sebagai pertukaran, mereka tidak perlu memotong rumput sekerap biasa bagi memastikan panel berfungsi dengan baik dan yang lebih penting, mematuhi peraturan pencegahan kebakaran hutan.
Biri-biri, terutama bulunya, merupakan nadi ekonomi Australia selama lebih 150 tahun, namun ladang Dubbo menjadi perintis dalam bidang agrivoltaik iaitu gabungan pertanian dan tenaga solar dengan banyak ladang lain mula mengikuti contoh ini.
“Semua ladang solar kami di New South Wales kini menempatkan biri-biri untuk meragut. Industri bergerak pantas ke arah di mana penggunaan tanah pertanian dan tenaga solar tidak lagi boleh dipisahkan,” kata Pengarah Negeri Neoen, Emily Walker. –UTUSAN










