“Bila nak PRU bergantung kepada kerajaan, Perdana Menteri” 

“Bila nak PRU bergantung kepada kerajaan, Perdana Menteri” 

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa sebelum tahun depan bergantung kepada pertimbangan dan tafsiran semasa oleh kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam suasana politik yang sentiasa berubah ketika ini, sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuk pembubaran Parlimen lebih awal.

“Saya melihat dalam suasana politik hari ini, apa-apa pun boleh berlaku. Sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, ia bergantung kepada bagaimana Kerajaan Perpaduan yang memerintah untuk mentafsir suasana dan bacaan politiknya.

“Jadi, nak buat PRU ini bergantung kepada kerajaan dan Perdana Menteri yang akan menentukan bagaimana suasana politik untuk membolehkan sesuatu pilihan raya diadakan,” katanya selepas menghadiri program Iftar Perdana KEDA dan Serahan Gerai di Desa KEDA Kubang Kenyeng, Naka di sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berkata, kuasa menentukan tarikh pembubaran Parlimen terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri yang akan menilai pelbagai faktor dan tafsiran daripada pelbagai pihak.

“Perdana Menteri tentu akan diberi nasihat oleh ramai pihak yang berada dalam arena politik untuk membuat satu tafsiran mengenai bila sepatutnya diadakan PRU16.

“Saya fikir PRU16 akan diadakan sebelum hujung tahun depan kerana itulah tempoh maksimum dan bila-bila masa sahaja boleh buat,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Kedah sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya itu pada bila-bila masa.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan bahawa kita akan bertanding guna lambang Barisan Nasional (BN). Jadi kita bergerak solo, namun perkataan solo itu boleh ditafsirkan lagi dan soal strategi serta penyesuaian pula akan diputuskan oleh pimpinan parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN