IPOH: Amanah Perak sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-16 diadakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai tarikh PRU16, pihaknya mengambil kira pelbagai perkembangan politik semasa termasuk kenyataan pemimpin negeri lain dan pandangan parti-parti dalam kerajaan perpaduan.
Menurut beliau, terdapat pandangan dalam kalangan parti politik supaya pilihan raya di beberapa negeri diadakan secara serentak dengan PRU16 bagi mengelakkan kos yang tinggi.
“Jika pilihan raya dibuat secara berasingan, kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan, jentera parti dan juga pengundi akan meningkat kerana mereka perlu datang mengundi berkali-kali.
“Keadaan ini juga boleh memberi kesan kepada kadar keluar mengundi sekiranya pengundi merasakan kos yang perlu ditanggung terlalu membebankan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Amanah di sini hari ini.
Tambah beliau, perkembangan tersebut bagaimanapun masih bergantung kepada keputusan pimpinan di peringkat Pusat serta rundingan antara parti-parti yang terlibat.
Mengulas mengenai persiapan parti, Asmuni berkata, Amanah Perak sentiasa membuat persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya, dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut jarak masa sebelum pilihan raya diadakan.
“Ketika ini persiapan parti berada pada tahap lebih tinggi memandangkan kemungkinan pilihan raya disebut-sebut akan berlangsung dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Amanah dijangka memberi tumpuan kepada jumlah kerusi yang lebih terhad berbanding parti lain, sekali gus membolehkan persiapan dilakukan secara lebih fokus.
“Setakat ini, lima kerusi yang dimenangi Amanah dalam pilihan raya lalu tidak dipertikaikan walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk membuat penyesuaian dalam pembahagian kerusi.
“Bagaimanapun perkara tersebut belum dibincangkan secara rasmi kerana kita menunggu keputusan di peringkat pusat,” katanya. – UTUSAN










