PETALING JAYA: Sumbangan dan pencapaian bekas Hakim Besar Malaya, Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob disifatkan sebagai antara faktor penting yang membuka laluan kepada lebih ramai hakim wanita menggalas tanggungjawab dalam jawatan tertinggi Badan Kehakiman Malaysia.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Allahyarhamah yang meninggal dunia pada hari ini bersamaan 23 Ramadan 1447 Hijrah merupakan tokoh kehakiman yang banyak berjasa kepada negara.
Katanya, Allahyarhamah pernah menyandang jawatan Hakim Besar Malaya bermula 8 Februari 2005 hingga 5 Januari 2007 dan sepanjang lebih 40 tahun perkhidmatannya dalam bidang perundangan dan kehakiman, beliau dikenali sebagai seorang hakim yang berwibawa serta disegani.
“Allahyarhamah juga dikenali melalui pelbagai penghakiman utama yang menjadi rujukan serta memperlihatkan kebijaksanaan dan kewibawaan beliau sebagai seorang hakim.
“Sumbangan serta pencapaian Allahyarhamah turut membuka laluan kepada lebih ramai hakim wanita untuk menggalas tanggungjawab dalam jawatan tertinggi Badan Kehakiman Malaysia sekali gus menjadi contoh bahawa wanita mampu mencapai kedudukan tertinggi dalam institusi kehakiman.
“Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khususnya dan negara amnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Allahyarhamah dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital pada pukul 1.51 petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Meor Amri Meor Ayob, 56, kepada Utusan Malaysia.
Menurut Meor Amri, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.51 petang akibat penyakit pneumonia. – UTUSAN









