KUALA LUMPUR: Seramai 380 orang hadir dalam perhimpunan Hari Al‑Quds Sedunia 2026 yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Himpunan berlangsung pada pukul 2 petang tadi berlangsung secara aman tanpa sebarang insidin tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menempatkan keanggotaan mencukupi dalam memastikan perhimpunan itu berjalan lancar dan tenang.
“Tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, himpunan itu melibatkan penyertaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terdiri Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) selain kehadiran beberapa ahli politik.
Himpunan itu dimulakan dari hadapan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini selepas selesai Solat Jumaat.
Peserta himpunan kemudian berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat dengan kawalan ketat pasukan polis.
Kelihatan peserta membawa bendera Palestin selain sepanduk yang mengutuk kekejaman Israel dan Amerika Syarikat.
Himpunan mula bersurai secara beransur-ansur kira-kira pukul 4 petang. – UTUSAN











