AI bunuh industri muzik

AI bunuh industri muzik

MOHD. AZHAR ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkemba­ngan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) menim­bulkan kebimbangan da­lam kalangan penggiat seni apabila ia berpotensi menjejaskan kelangsungan industri muzik tanah air jika tidak dikawal dengan sewajarnya.

Antara isu perlu diberi perhatian ialah kedudukan hak cipta bagi karya yang dihasilkan menggunakan teknologi berkenaan, yang ketika ini masih belum jelas daripada sudut perundangan.

Komposer terkenal, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Dr. Azmeer­ berkata, prinsip asas hak cipta menetapkan bahawa sesuatu karya perlu mempunyai elemen penciptaan oleh manusia bagi melayakkannya menerima perlindungan undang-undang.

“Jika sesuatu karya dihasilkan sepenuhnya oleh AI tanpa penglibatan manusia yang jelas, ia tidak boleh dilindungi di bawah hak cipta.

“Perkara ini turut dibuktikan menerusi kes di Amerika Syarikat apabila permohonan hak cipta bagi karya yang dihasilkan menggunakan AI telah ditolak oleh mahkamah kerana tidak mempunyai pencipta manusia secara langsung.

“Dalam konteks industri muzik, walaupun AI mampu menggunakan melodi dan lirik asal ciptaan manusia sebagai asas, hasil akhir seperti suara dan susunan muzik yang dijana sistem tersebut masih tidak mempunyai status hak cipta yang jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas kesan penggunaan AI terhadap industri muzik, Azmeer menyifatkan teknologi itu sebagai cabaran baharu yang semakin memberi tekanan kepada penggiat seni.

“AI mampu menghasilkan lagu dalam tempoh yang sangat singkat dengan kualiti teknikal yang hampir sempurna, namun kesannya boleh menjejaskan pendapatan pencipta sebenar.

Beliau menyambut baik langkah seperti Spotify yang pernah menurunkan puluhan juta lagu dihasilkan oleh AI kerana dibimbangi akan menjejaskan agihan royalti kepada pencipta manusia.

“Sistem pembayaran royalti di platform penstriman adalah berdasarkan jumlah pendengaran, dan lambakan lagu AI dalam sistem boleh menyebabkan bahagian pendapatan yang diterima oleh pencipta sebenar semakin berkurangan,”katanya.

Sementara itu, penyanyi, Yunalis Zarai berkata, walaupun AI dilihat sebagai jalan pintas dalam penghasilan lagu, namun produk akhir lagu tersebut tidak mampu menandingi sentuhan manusia atau ia tidak ada jiwa.

“Muzik sepatutnya membuatkan kita rasa sesuatu, dan dihasilkan oleh manusia. Perlu ada kemanusiaan dalam muzik,” katanya.

Yuna juga menegaskan, penggunaan suara artis tanpa izin merupakan satu bentuk pelanggaran hak yang perlu dipandang serius.

Sehubungan itu, Yuna menyeru penggiat seni supaya berani mempertahankan hak masing-masing walaupun berdepan cabaran baharu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×