PETALING JAYA: Pendakwah selebriti dan pelakon, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, menegaskan keputusannya untuk tidak mendedahkan wajah anak kepada umum sehingga kini merupakan pilihan peribadi demi menjaga keselamatan ahli keluarga.
Menurutnya, terdapat perkara dalam kehidupan yang terlalu berharga untuk dikongsikan secara terbuka, lebih-lebih lagi apabila melibatkan insan tersayang.
“Dalam hidup ini, ada perkara yang kita sangat sayang dan tidak mahu dikongsi dengan orang lain. Contohnya isteri, kita sayang tetapi tidak boleh berkongsi dengan orang.
“Begitu juga dengan anak. Saya terlalu sayang dan tidak mahu berkongsi dengan sesiapa,” katanya dalam temu bual podcast Sembang Seram yang tular, baru-baru ini.
Mengulas dari sudut agama, PU Riz menjelaskan Islam mengingatkan umatnya agar mengembalikan setiap pujian kepada Allah SWT apabila melihat sesuatu yang menakjubkan, selain mempercayai kewujudan penyakit ‘Ain’ atau pandangan mata yang boleh memudaratkan.
Katanya, jika pujian diberikan tanpa mengaitkannya dengan kebesaran Allah, ia berpotensi membawa kesan tidak baik kepada orang yang dipuji.
“Dalam hadis disebut, sesiapa yang melihat sesuatu yang menakjubkan daripada saudaranya atau hartanya, hendaklah dia mengembalikannya (pujian) kepada Allah. Sesungguhnya ‘Ain’ itu benar.
“Bayangkan ribuan manusia melihat di media sosial, kita bimbang ada yang terlepas untuk menyebut nama Allah. Jadi, langkah menutup wajah itu adalah sebagai perlindungan,” ujarnya.
Dalam pada itu, suami kepada selebriti terkenal, Neelofa, turut berkongsi panduan tentang adab menerima pujian.
Jelasnya, setiap pujian seharusnya dikembalikan kepada Allah sebagai tanda syukur, bukannya menafikannya secara berlebihan.
“Apabila dipuji, janganlah kita menafikan dengan mengatakan ‘tidaklah’ atau ‘biasa sahaja’. Sebaliknya, katakan bahawa semuanya datang daripada Allah.
“Nabi SAW juga mengajar doa ketika melihat cermin, sebagai tanda mensyukuri kecantikan yang dikurniakan. Kita perlu sentiasa ‘mendinding’ diri dengan menyebut Alhamdulillah,” katanya. -UTUSAN











