KUALA LUMPUR: Lebih 20 negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menyatakan kesediaan untuk menyokong usaha memastikan keselamatan pelayaran melalui Selat Hormuz susulan peningkatan ketegangan di rantau Teluk.
Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin dari 22 negara mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu oleh Iran terhadap kapal komersial tidak bersenjata serta infrastruktur awam, termasuk kemudahan minyak dan gas, selain penutupan de facto laluan perairan strategik itu.
Negara terlibat ialah UAE, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Jepun, Kanada, Republik Korea, New Zealand, Denmark, Latvia, Slovenia, Estonia, Norway, Sweden, Finland, Czechia, Romania, Bahrain, Lithuania dan Australia.
“Kami menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada usaha yang bersesuaian bagi memastikan laluan selamat melalui Selat itu. Kami mengalu-alukan komitmen negara-negara yang sedang terlibat dalam perancangan awal,” menurut kenyataan itu.
Negara-negara berkenaan turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap konflik yang semakin memuncak.
“Kami menggesa Iran supaya menghentikan segera ancaman, pemasangan periuk api, serangan dron dan peluru berpandu serta sebarang usaha lain untuk menghalang laluan Selat kepada perkapalan komersial, selain mematuhi Resolusi 2817 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kebebasan pelayaran merupakan prinsip asas undang-undang antarabangsa, termasuk di bawah Konvensyen Undang-undang Laut PBB,” jelas kenyataan itu.
Mereka turut menggesa pelaksanaan moratorium menyeluruh serta-merta terhadap serangan ke atas infrastruktur awam, termasuk kemudahan minyak dan gas.
“Kami mengalu-alukan keputusan Agensi Tenaga Antarabangsa untuk membenarkan pelepasan terselaras rizab petroleum strategik. Kami juga akan mengambil langkah lain untuk menstabilkan pasaran tenaga, termasuk bekerjasama dengan negara pengeluar tertentu bagi meningkatkan pengeluaran.
“Keselamatan maritim dan kebebasan pelayaran memberi manfaat kepada semua negara. Kami menggesa semua negara supaya menghormati undang-undang antarabangsa dan menegakkan prinsip asas kemakmuran serta keselamatan global,” menurut kenyataan itu.-AGENSI










