2,000 ekor ayam habis dijual dalam tempoh 40 minit - Utusan Malaysia

2,000 ekor ayam habis dijual dalam tempoh 40 minit

SEBANYAK 1.5 tan daging lembu segar disediakan untuk jualan pada program Jualan Murah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Sebanyak 2,000 ekor ayam segar yang dijual dengan harga RM7 sekilogram habis dijual hanya dalam tempoh 40 minit pada program Jualan Murah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di sini hari ini.

Tawaran harga rendah itu menarik minat pengunjung apabila sanggup hadir dan beratur seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

Selain ayam, turut ditawarkan kepada orang ramai ialah 1.5 tan daging lembu segar serta pelbagai barangan kering dengan potongan harga sehingga 40 peratus

Seorang pembeli, Nor Azlina Rohim, 44, berkata, jualan murah tersebut disifatkan berbaloi dan membantu orang ramai membuat persiapan saat akhir menjelang Syawal.

“Semasa saya tiba di sini, hari pun sudah lewat dan ramai orang yang beratur, namun syukur bekalan mencukupi hingga saya dapat membeli lima ekor ayam.

“Sistem jualan di sini pun cepat dan teratur, jadi memudahkan orang ramai memilih barang dan membuat pembayaran,” katanya

Bagi Rosmaini Zakaria, 48, faktor harga yang jauh lebih rendah berbanding pasaran menjadi tarikan utama dia hadir ke program tersebut.

Katanya, pengalaman tahun lalu yang menyaksikan ada pengunjung pulang hampa mendorongnya hadir lebih awal kali ini.

“Harga daging yang ditawarkan sekitar RM24 sekilogram berbanding harga pasaran RM34 hingga RM38 memberi penjimatan sehingga RM10 sekilogram.

“Peluang seperti ini bukan selalu ada, jadi memang perlu direbut. Tahun lepas saya turut datang, jadi ini kali kedua dan memang banyak perbezaan harga yang boleh dijimatkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jualan, Mohd. Zalie Abdullah berkata, sambutan terhadap jualan kali ini amat memberangsangkan berbanding tahun lalu, terutama bagi bekalan ayam segar.

“Sambutan terhadap jualan daging lembu juga menggalakkan apabila 12 ekor lembu disembelih membabitkan kira-kira 1.5 tan daging, dengan hampir separuh daripadanya habis dijual,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, jualan murah itu diadakan sebagai persediaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menjelang Aidilfitri.

Beliau yang juga Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) berkata, kaedah pembelian dalam jumlah besar membolehkan harga dikurangkan tanpa menanggung kerugian.

“Kita beli dalam kuantiti besar, jadi kita dapat harga rendah dan boleh jual murah kepada rakyat. Ini adalah penyelesaian sebenar untuk bantu rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN