1,936 pelajar Malaysia di Asia Barat selamat-KPT - Utusan Malaysia

1,936 pelajar Malaysia di Asia Barat selamat-KPT

ZAMBRY Abdul Kadir (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar pada Program Kembara Ramadan dan Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kelantan @ Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Kelantan hari ini. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seramai 1,936 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di beberapa negara Asia Barat berada dalam keadaan selamat meskipun konflik di rantau itu semakin memuncak ketika ini susulan serangan besar-besaran Israel bersama Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.

Menteri Pengajian Tinggi,Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata pemantauan rapi secara berterusan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Malaysia sudah digerakkan bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.

“Berdasarkan maklumat terkini, jumlah terbesar pelajar Malaysia adalah di Jordan iaitu seramai 1,762 orang, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3).

“Setakat ini tiada laporan menunjukkan pelajar kita berada dalam keadaan panik, cedera atau terjejas akibat konflik. Kesemuanya dilaporkan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kembara Ramadan dan Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kelantan @ Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok di sini hari ini.

Zambry berkata, pejabat Education Malaysia (EM) di setiap negara terlibat telah digerakkan sepenuhnya untuk memantau perkembangan pelajar Malaysia di seluruh negara Arab dan menyalurkan laporan dari semasa ke semasa kepada kementerian.

Katanya, setakat ini belum ada permintaan rasmi daripada pelajar untuk pulang ke tanah air, namun kerajaan bersedia mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan keselamatan berubah.

Beliau turut menyeru pelajar Malaysia yang tidak berdaftar dengan EM supaya segera memaklumkan keberadaan mereka kepada pihak kedutaan bagi memudahkan urusan pemantauan dan bantuan.

“Kita tidak akan mendiskriminasikan mana-mana pelajar. Apa pun keadaan mereka di sana, keselamatan mereka adalah tanggungjawab kita.

“Jika perlu tindakan pemindahan atau bantuan segera, kita akan laksanakan bersama Kementerian Luar Negeri,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN