BALIK PULAU : Fokus kerajaan ketika ini adalah untuk memperkukuhkan pelaksanaan sistem BUDI MADANI Diesel dan BUDI95 bagi memastikan agar subsidi dapat disalurkan secara lebih adil serta menyeluruh.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, oleh itu, sebarang cadangan baharu untuk mengklasifikasikan golongan T20 dalam pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api tersebut masih belum dibincangkan buat masa ini.
“Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil minggu lalu, Kabinet tidak membincangkan apa-apa klasifikasi kategori untuk T20.
“Pendekatan kita ialah melihat pelaksanaan BUDI di seluruh negara termasuk memperluaskannya sehingga ke Sabah dan Sarawak. Itu yang sedang kita fokuskan,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan blok tambahan kelas prasekolah program pendidikan khas integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh, hari ini.
Amir Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan yang timbul berhubung definisi terhadap golongan T20 serta bagaimana kerajaan merancang untuk menangani isu berkenaan.
Mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu supaya kuota subsidi bahan api di bawah program BUDI MADANI itu dikembalikan kepada 300 liter pula, Amir Hamzah berkata, kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan subsidi dengan ketidaktentuan bekalan global serta situasi geopolitik semasa susulan konflik di Asia Barat terlebih dahulu.
“Walaupun ketegangan akibat bekalan minyak berlaku di beberapa negara ketika ini, namun, Malaysia sebenarnya masih berada dalam keadaan stabil hasil kapasiti pengeluaran minyak domestik serta pengalaman syarikat petroleum tempatan dalam memastikan bekalan tidak terjejas.
“Sejak hampir tiga bulan konflik berlaku juga, tidak ada isu bekalan dalam negara. Di beberapa negara lain, stesen minyak terpaksa ditutup dan syarikat tidak boleh beroperasi kerana kekurangan bekalan, tetapi Malaysia masih terkawal,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan juga terpaksa mengambil langkah mengurangkan kuota subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter bagi mengawal beban subsidi serta mengelakkan ketirisan penggunaan selepas kerajaan mendapati purata penggunaan penerima BUDI95 hanyalah sekitar 98 liter sebulan.
“Kalau kita hanya menampung subsidi tanpa kawalan, beban kepada kerajaan akan menjadi terlalu tinggi dan boleh menjejaskan keutamaan perbelanjaan negara,” katanya.










