NUTP mahu kerajaan gerak usaha gubal Akta Perlindungan Guru - Utusan Malaysia

NUTP mahu kerajaan gerak usaha gubal Akta Perlindungan Guru

AMINUDDIN Awang (depan, enam dari kiri) bersama Steven Sim Chee Keong (depan, tengah) ketika menghadiri Majlis Semarak Hari Guru NUTP Pulau Pinang Merentas Hari Pekerja di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap agar kerajaan dapat menggerakkan satu usaha untuk menggubal akta khusus bertujuan melindungi guru atau dikenali sebagai Akta Perlindungan Guru.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, langkah itu bagi memastikan guru-guru di negara ini mendapat perlindungan yang sewajarnya ketika menjalankan tugas mereka.

“Guru sekarang ini berada dalam fasa yang cukup terancam kerana mereka perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan. Mereka bukan sahaja perlu mendisiplinkan murid, tetapi, perlu melaksanakan pelbagai tanggungjawab dan situasi ini menyebabkan mereka seolah-olah diancam.

“Silap sikit mereka akan terima LOD (surat tuntutan) daripada ibu bapa. Silap sikit mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Jadi besarlah harapan kami sempena Hari Guru pada tahun ini dan selaras dengan cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh guru supaya kerajaan dapat menggerakkan usaha ke arah itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Hari Guru NUTP Pulau Pinang Merentas Hari Pekerja di Seberang Jaya di sini. Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Sementara itu, Aminuddin berkata, penggabungan NUTP ke dalam Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mampu memperkukuh kedudukan kesatuan itu sebagai suara utama warga pendidik di negara ini.

Katanya, penggabungan tersebut merupakan satu langkah strategik dan bersejarah selepas permohonan mereka untuk menyertai gabungan terbabit diluluskan pada 21 April lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap agar permintaan khas guru-guru untuk menikmati semula kuota petrol sebanyak 300 liter di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95) dapat direalisasikan sebagai hadiah menjelang sambutan Hari Guru, esok.

“Guru ini, kita ramai dan kita juga terdiri daripada pelbagai kategori. Ada yang terpaksa menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk menghantar murid bagi menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum sama ada di peringkat negeri, daerah atau kadang-kadang sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Justeru, dalam konteks ini, mereka (guru) telah menggunakan kuota subsidi BUDI mereka sendiri untuk urusan-urusan rasmi itu. Jadi, kita haraplah agar kerajaan dapat mengembalikan kouta ini sebagai hadiah sempena Hari Guru,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN