GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dijangka menganjurkan satu sesi ‘town hall’ berkaitan inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia di setiap negeri dalam masa yang terdekat ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (M3PK) yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau berkata, sesi ‘town hall’ tersebut dirangka bagi mendengar sendiri pandangan usahawan yang terlibat dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) selain menjelaskan segala dasar serta inisiatif kerajaan kepada mereka.
“Kalau boleh, kita mahu mendengar sendiri suara-suara, cadangan dan pandangan daripada usahawan di peringkat negeri serta menyampaikan dasar-dasar KUSKOP kepada usahawan-usahawan ini serta pemegang taruh kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Mengulas mengenai kebimbangan sektor PMKS terhadap kos operasi susulan krisis bekalan ketika ini pula, Steven berkata, setakat ini, Kabinet belum memutuskan untuk menerima cadangan bagi mengurangkan kuota subsidi di bawah program Budi Madani (BUDI95).
“Saya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas sektor usahawan akan menyatakan pendirian bahawa (kouta) BUDI95 harus dikekalkan pada masa sekarang. Keduanya, kita akan pastikan pelaksanaan subsidi diesel ditambah baik bagi membantu usahawan-usahawan yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KUSKOP sentiasa berusaha untuk menjadi pemudah cara bagi membantu para usahawan serta peniaga-peniaga kecil menjalankan operasi perniagaan mereka.
Katanya, antara inisiatif yang sedang dilakukan ketika ini ialah mempergiatkan kempen PowerUp 10,000 (PowerUp10k) yang bukan sahaja memberi fokus kepada pembiayaan, tetapi, pembangunan kapasiti yang merangkumi pemberian ilmu serta kemahiran kepada para usahawan yang terlibat agar mereka tahu bagaimana cara untuk mendaftarkan perniagaan.
“Itu antara usaha yang kita buat untuk membantu usahawan agar mereka boleh mendapat manfaat daripada dasar-dasar pembiayaan ini,” ujar beliau.
Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, status perniagaan penjaja yang tidak berdaftar antara faktor dikenal pasti menjadi punca golongan terbabit sukar mendapatkan akses bantuan kewangan formal.
Beliau berkata, kajian dan hasil tinjauan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati, hanya lima peratus penjaja menerima bantuan daripada institusi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ketika ini.-UTUSAN










