PETALING JAYA: Sebanyak 19 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) bawah 2.0 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, lima MRSM muncul terbaik iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Gemencheh, MRSM Taiping, MRSM Pengkalan Chepa dan MRSM Kuala Kubu Bharu.
“Seramai 80 pelajar pula mendapat semua A+. Saya amat berbangga dengan anak-anak semua!” katanya di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Bahagian Pendidikan Menengah MARA memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan peningkatan konsisten prestasi MRSM apabila seramai 80 pelajar memperoleh keputusan semua A+, meningkat berbanding 69 pelajar tahun sebelumnya.
Katanya, sebanyak 11 MRSM turut mencatatkan peningkatan prestasi keseluruhan dengan MRSM ATM Bera merekodkan lonjakan Gred Purata Maktab tertinggi.
“MARA turut berbangga dengan pencapaian mengikut subjek terutama melibatkan subjek Matematik di mana 10 MRSM mencatatkan 100 peratus A, manakala 21 MRSM mencatatkan 100 peratus A bagi subjek Pendidikan Islam.
“Subjek Pendidikan Moral, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal & Elektronik, Bahasa Arab, Seni Visual dan Reka Cipta turut mencatatkan peningkatan GP subjek.
“Pencapaian MRSM dalam subjek Sains pula menunjukkan keputusan yang cemerlang dengan 42.5 peratus mendapat gred A dalam subjek Fizik, manakala 40.5 peratus dan 37.7 peratus masing-masing dalam subjek Biologi dan Kimia,” katanya. – UTUSAN










