Sabah catat peningkatan, 34,737 layak terima sijil SPM 2025

Sabah catat peningkatan, 34,737 layak terima sijil SPM 2025

RAISIN SAIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: Sabah merekodkan peningkatan memberangsangkan susulan seramai 34,737 calon (95.60 peratus) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sekolah Kementerian Pendidikan layak dianugerahkan sijil.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah terbabit mengalami peningkatan seramai 2,236 orang berbanding 32,501 calon (94.68 peratus) pada peperiksaan SPM tahun sebelumnya.

Katanya, hanya tiga orang calon berjaya memperoleh keputusan semua A+ pada SPM 2025 berbanding enam calon pada tahun sebelumnya.

“Bagi calon yang memperoleh kombinasi A+, A dan A-, seramai 605 orang atau 1.63 peratus berbanding 580 orang atau 1.64 peratus pada tahun lalu, menunjukkan peningkatan seramai 25 orang,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 bagi negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Mohamad Ali, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Raisin berkata, seramai 6,150 calon atau 16.61 peratus direkodkan memperoleh keputusan Gred C (kepujian) dalam semua mata pelajaran berbanding 3,437 calon atau 9.74 peratus pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini melibatkan seramai 2,713 calon atau 6.87 peratus. Selain itu, calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus iaitu Gred E dalam semua mata pelajaran ialah seramai 14,533 orang atau 39.24 peratus berbanding 13,265 orang atau 37.64 peratus pada SPM 2024,” katanya.

Tambah beliau, angka tersebut menunjukkan peningkatan seramai 908 calon atau 1.60 peratus.

Mengulas lanjut, Raisin turut menjelaskan Indeks Gred Purata Negeri (GPN) Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 4.85 mata pada SPM 2025 berbanding 5.00 mata pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM 2025 di Sabah adalah lebih baik apabila nilai GPN menurun sebanyak 0.15 mata,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN