1,494 ahli Kosma terima dividen RM30.62 juta

1,494 ahli Kosma terima dividen RM30.62 juta

WAN Rosdy Wan Ismail menunjukkan replika keuntungan pelaburan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 Koperasi Serba Makmur Berhad (Kosma) di Jerantut Pahang. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 1,494 pemegang unit ladang Koperasi Serba Makmur Berhad (Kosma) menerima khabar gembira apabila koperasi itu mengagihkan dividen keseluruhan berjumlah RM30.62 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian kewangan Kosma pada tahun lalu sangat membanggakan apabila pendapatan ladang meningkat kepada RM273.13 juta berbanding RM224.88 juta pada 2024.

Kata beliau, keuntungan bersih turut melonjak kepada RM177.63 juta berbanding RM134.3 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pengurusan koperasi itu berada pada landasan kukuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Kosma membuat pembayaran pendahuluan satu unit ladang sebanyak RM6,000 kepada setiap anggota, iaitu jumlah tertinggi pernah dibayar koperasi ini.

“Setiap ahli turut menerima bonus raya sebanyak RM2,000 melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2.986 juta,” katanya selepas majlis pengumuman pembayaran dividen Unit Ladang Kosma dan bonus raya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 di Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, agihan dividen dan bonus raya tersebut pastinya dapat meringankan beban kewangan anggota, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Kata beliau, baki pembayaran unit ladang kepada anggota akan dijelaskan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kosma pada 20 Jun ini manakala dividen saham modal pula akan dibayar selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini