100,000 pil kuda cuba diseludup guna kurier - Utusan Malaysia

100,000 pil kuda cuba diseludup guna kurier

ANGGOTA polis memeriksa bungkusan mengandungi pil kuda yang dirampas di Narathiwat, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Polis Wilayah Narathiwat membongkar rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan apabila merampas 100,000 biji pil kuda yang dipercayai cuba di­seludup ke Malaysia dalam operasi di sebuah gudang syarikat kurier di sini, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, kejayaan operasi itu adalah kesinambungan daripada rampasan 52,000 pil kuda di sebuah gudang kurier di Dusongnyo, Chanae pada 2 Mac 2025.

Katanya, dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang, Ibu Pejabat Polis Wilayah Narathiwat menyerbu sebuah gudang syarikat kurier di Sri Sakhon.

“Operasi diketuai ­Penguasa Bahagian Siasatan Polis Wila­yah Narathiwat, Kolonel Polis Niyom Suwannakhong melibatkan kira-kira 15 anggota setelah mendapat maklumat daripada sumber di Chiang Rai.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah besar narkotik Kate­gori 1 yang diisi dalam beberapa bungkusan dan dimasukkan ke dalam dua kotak masing-masing mengandungi 52,000 dan 48,000 pil kuda,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jurucakap itu berkata, ke­dua-dua kotak yang mengandu­ngi dadah berkenaan dihantar terus dari Chiang Rai di utara Thailand dipercayai cuba dise­ludup ke Malaysia.

“Operasi ini adalah kesinambungan daripada tangkapan yang dibuat tahun lalu apabila polis merampas 52,000 biji pil kuda di sebuah cawangan kurier di Dusongnyo. Ini menyebabkan Bahagian Narkotik Polis Wilayah Narathiwat memantau rapi penyeludupan narkotik melalui sistem logistik,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pengirim dan penerima dadah berkenaan.

Beliau berkata, rampasan itu dianggap antara yang terbesar dalam usaha pihak berkuasa mematahkan rangkaian pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier rentas sempadan di Selatan Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN