NAMPAK tenang, sabar dan low profile, itu antara karakter Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Yohanis Ahmad, 48, dalam menjalankan amanah yang dipikulnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Beliau yang mesra dipanggil Ustaz Yohanis, nampak bersahaja dalam mendekati dan bergaul dengan rakyat.
Itu yang membuatkan penduduk lebih senang dan selesa dengannya ketika berbicara mengenai soal pembangunan serta bersangkut paut dengan pendidikan, agama, kebajikan dan masalah setempat.
Menurut Yohanis, sekiranya tidak ada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mesyuarat pengurusan dengan rakan kepimpinan Pas Pahang, beliau banyak menumpukan tugas di lapangan.

Anak peneroka Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut itu mempunyai waris serta saudara-mara yang ramai di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, iaitu tempat kelahiran Pahlawan Melayu Mat Kilau telah membugarkan inspirasi, semangat serta membenih cita-citanya untuk menjadi wakil rakyat.
Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar dan kemudian meneruskan peringkat pengajian tinggi dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah di Universiti Al Azhar pada 2004 tidak lokek dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk dicurahkan kepada generasi muda kawasan itu.

YOHANIS AHMAD
Jawatan: ADUN Pulau Tawar dari parti Pas
Tarikh lahir: 28 Jun 1978
Tempat lahir: Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut.
Pendidikan menengah:
SM Agama Pulau Tawar, Jerantut (Tahun 1991 hingga 1996)
Kuliah Al Lughah Wa Addin Pekan (Tahun 1997 hingga 1998)
Pendidikan tinggi:
Universiti Al Azhar (Tahun 2004)
“Saya mempunyai jadual tugas yang teratur untuk bertemu dengan penduduk di tiga kampung tradisional pesisir Sungai Pahang, 14 Felda kawasan Wilayah Jengka, penduduk Orang Asli di sebuah Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Bangkong, kawasan Pulau Tawar.
“Sekiranya tidak ada undangan rasmi untuk sesuatu majlis, saya akan turun ke lapangan di beberapa kampung dan Felda sehari suntuk untuk mendengar dan menyelesaikan masalah kebajikan penduduk dan pembangunan setempat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, baru-baru ini.
Ustaz Yohanis menjelaskan, setiap masalah pembangunan yang penduduk hadapi akan terus disampaikan kepada pihak pentadbiran daerah, jabatan kerajaan dan kerajaan negeri menerusi Persidangan DUN.
Begitu juga dengan bantuan untuk warga emas, pesakit kronik, murid-murid dan orang kurang upaya, segalanya akan cuba diselesaikan supaya golongan ini tidak tercicir.
“Saya akan cuba sehabis baik untuk menyelesaikan masalah penduduk berkenaan dengan bantuan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malahan sekiranya perlu terus berhubung dengan jabatan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Pulau Tawar juga mendapat sokongan dan sumbangan para dermawan dengan mengeluarkan belanja peralatan binaan dibantu khidmat penduduk setempat secara bergotong-royong untuk membaik pulih jalan rosak dan rumah yang dibadai ribut termasuk bantuan kerusi roda, katil yang diperlukan oleh pesakit kronik.
“Perkara ini sudah diamalkan sejak saya menjadi wakil rakyat bagi mempercepatkan urusan berkait dengan kemudahan asas dan kebajikan penduduk,” katanya.
Katanya, setiap hujung minggu, iaitu Sabtu dan Ahad pula banyak undangan diterima ke majlis perkahwinan di kampung tradisional dan Felda sekali gus membolehkannya menyantuni serta berhubung rapat dengan penduduk di situ.
“Boleh dikatakan saya mengenali semua penduduk (pengundi) kerana dalam tempoh sebulan kerap kali berulang ke kawasan berkenaan menghadiri majlis kenduri, majlis tahnik dan bercukur bayi serta berziarah kematian penduduk.
“Sekiranya diundang, saya juga meluangkan masa berceramah agama khususnya kepada golongan muda selain menyertai acara sukan tertentu bagi memupuk gaya hidup sihat dan ukhuwah masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatannya untuk mendekati golongan muda dan remaja, iaitu dengan menggalakkan mereka beriadah dan berekreasi di tempat masing-masing dengan menyumbang hadiah bertujuan setiap acara itu
lebih meriah, wujud semangat bertanding dan menarik minat ramai penonton.
“Saya bersama NGO Islam sentiasa mengatur ceramah kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, buli dan kes jenayah sosial lain.
“Dengan cara ini, saya berpeluang berdamping dengan orang muda serta memberikan nasihat supaya menjauhi gejala itu,” katanya
Ustaz Yohanis menambah, sebagai wakil rakyat, beliau juga ingin menjadikan DUN Pulau Tawar sebagai destinasi pelancongan berasaskan sejarah, alam sekitar dan pertanian.
Menguatkan hasrat itu, kata beliau, Pulau Tawar sudah pun mempunyai aset sejarah, iaitu terkenal dengan Pahlawan Melayu Mat Kilau, Gua Bersejarah Kota Gelanggi, manakala dalam bidang pertanian sudah terkenal dengan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam dan kawasan tanaman sawit di Felda.
Tambahnya, beliau begitu senang berkhidmat di DUN Pulau Tawar yang lengkap pelbagai kemudahan asas, manakala wujud pemuafakatan yang kuat dalam kalangan penduduk Melayu, Orang Asli serta minoriti Cina dan India.-UTUSAN










