BAGI Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak, V. Bavani atau lebih mesra dikenali sebagai Shasha, jawatan sebagai wakil rakyat bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan keikhlasan dan tanggungjawab.

BIODATA
V. Bavani
Umur: 52 tahun
Tarikh lahir: 31 Disember 1973
Tempat lahir: Port Dickson, Negeri Sembilan
Pendidikan: Ijazah Pengurusan Sumber Manusia
Parti: DAP (25 tahun)
Jawatan: Setiausaha Wanita DAP Perak
Dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 31 Disember 1973, Shasha, 52, dibesarkan dalam keluarga berdisiplin apabila bapanya merupakan pesara tentera, manakala suaminya juga daripada latar belakang sama.
Didikan tersebut membentuk prinsip kepimpinan beliau yang tegas, berdisiplin dan dekat dengan rakyat.
Berpendidikan hingga ke peringkat Ijazah dalam Pengurusan Sumber Manusia, beliau menyertai DAP sejak 25 tahun lalu dan kini memegang jawatan Setiausaha Wanita DAP Perak.
Namun, di sebalik kedudukan politik, fokus utamanya kekal satu iaitu kebajikan rakyat Malim Nawar.
Kawasan DUN Malim Nawar mempunyai latar sosioekonomi yang unik, majoritinya terdiri daripada peniaga kecil, pengusaha perikanan serta penternak dan pertanian.

Kewujudan banyak lombong lama turut menjadikan aktiviti perikanan sebagai sumber pendapatan penting penduduk setempat.
Menurutnya, penduduk Malim Nawar ialah golongan yang kuat bekerja dan berjiwa besar, namun realitinya masih ramai tergolong dalam kumpulan B40.
Cabaran kos sara hidup, kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak serta keperluan infrastruktur asas menjadi antara isu utama yang sering dibangkitkan.
“Masalah rakyat bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi kisah hidup yang nyata iaitu tentang usaha, pengorbanan dan harapan,” katanya.
Sebagai langkah membantu meringankan beban rakyat, beliau konsisten menyalurkan bantuan melalui pelbagai inisiatif kerajaan negeri antaranya bantuan kotak makanan menerusi Yayasan Perak, bantuan kembali ke sekolah, sumbangan perayaan serta bantuan pendidikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk pemberian komputer riba dan wang saku.
Sebahagian besar isu rakyat, katanya, berjaya diselesaikan hasil kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan pelbagai agensi berkaitan.
Antara kejayaan signifikan adalah penyelesaian masalah banjir di Kampung Sikh Settlement, Tanjung Tualang, yang sebelum ini kerap dilanda banjir walaupun hujan sekejap.

Melalui kerjasama sebuah syarikat yang menjalankan projek di kawasan Kampung Sikh Settlement telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), empangan dan sistem saliran dibina dengan kos RM100,000, sekali gus menamatkan masalah berkenaan.
Di Malim Nawar pula, pihak berkuasa tempatan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menaik taraf sistem longkang bagi mempercepat aliran air, sekali gus berjaya mengurangkan kejadian banjir yang kini hanya melibatkan beberapa lokasi kecil.
“Masalah lain ada yang mengambil masa disebabkan isu dasar dan teknikal, tetapi tiada satu pun yang kami biarkan tanpa usaha penyelesaian,” jelasnya.
Antara isu paling kritikal yang masih dalam perhatian adalah masalah haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau berkeliaran, yang kini sedang dibincangkan bersama pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
Dalam bidang pendidikan, beliau turut membantu sekolah-sekolah di kawasan DUN itu dengan penyediaan Smart TV, Smart Board, kelengkapan pembelajaran, menaik taraf kemudahan kantin serta sumbangan meja dan kerusi.
Menyentuh respons rakyat terhadap prestasinya, Shasha mengakui tidak semua pandangan bersifat positif, namun beliau menerima setiap kritikan secara terbuka dan menyelesaikan isu mengikut keutamaan.
“Pejabat dan Pusat Khidmat saya sentiasa terbuka kepada rakyat. Walaupun hujung minggu tidak beroperasi, telefon saya tetap berdering,” katanya.
Beliau turut dibantu oleh sistem sokongan yang kukuh melibatkan ketua kampung dan ahli majlis yang sentiasa berada di lapangan.
Satu kes yang mencerminkan komitmennya adalah kebakaran sebuah rumah penduduk pada 2024 sehingga musnah sepenuhnya.
Beliau turun padang dan menguruskan bantuan sehingga pembinaan rumah baharu di bawah Skim Perumahan Negara Berhad (SPNB), selain membantu kos pemasangan bekalan elektrik dan air.
Mangsa dijangka dapat menduduki rumah baharu sebelum Tahun Baharu Cina.
“Kerja kita bukan separuh jalan, tetapi dari mula hingga akhir,” katanya.
Hampir setiap hari, beliau turun padang menemui rakyat, dan jika tidak, berada di pejabat bagi memastikan rakyat sentiasa mempunyai akses untuk bertemu wakil mereka.
“Saya selesa minum teh dengan rakyat. Wakil rakyat tidak boleh jauh daripada rakyat. Kita perlu faham mereka,” ujarnya.
Falsafah kepimpinannya jelas iaitu jawatan adalah amanah, khidmat mesti datang dari hati, bukan sekadar dari mikrofon.
Beliau bertekad memastikan maruah rakyat dijaga dan tiada sesiapa tercicir daripada arus pembangunan.
Bagi memudahkan rakyat yang tinggal jauh, beliau memperkenalkan kaunter khidmat bergerak sejak 2022, dengan jadual tetap di Malim Nawar, Tronoh Mines dan Tanjung Tualang.
Kaunter ini menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk bantuan mengisi borang, penyerahan kotak makanan serta khidmat nasihat bersama ketua kampung dan agensi berkaitan.
Harapannya jelas iaitu untuk melihat Malim Nawar membangun secara seimbang, dengan infrastruktur lebih baik, peluang ekonomi yang luas dan rakyat hidup lebih sejahtera.
“Rakyat Malim Nawar bukan sekadar penonton pembangunan, mereka mesti menjadi penerima nikmatnya,” katanya.-UTUSAN










