Kota berusia 703 tahun dapat sentuhan DUN Kota Siputeh

Kota berusia 703 tahun dapat sentuhan energetik YB Acap

Minat YB Acap terhadap dunia permotoran selari dengan semangat anak muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSEMANGAT, energetik dan penuh visi. Demikian gambaran yang boleh diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 40.

Memenangi DUN itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 2023, di sinilah Mohd. Ashraf yang lebih popular dengan panggilan Acap itu membina langkah politiknya dengan idealisme tersendiri lewat pengalaman serta motivasi diri sebagai anak muda.

Barangkali ramai skeptikal pada awalnya dengan kemampuan beliau sebagai ahli politik Gen Y dihantar ke kota yang berusia 703 tahun dan penuh bersejarah itu. Namun setelah tiga tahun menuai bakti kehadiran beliau semakin diterima penduduk menerusi kerja buatnya yang bukan sedikit.

 

MOHD. ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

Umur: 40 tahun
Pendidikan:
 Seni dan Reka Bentuk, Universiti Selangor
 Sains Politik, Universiti Sains Malaysia
 Kursus Pendek dalam Nilai dan Dasar Awam, Universiti Oxford

Jawatan:
 Ketua Penerangan Armada Bersatu
 ADUN Kota Siputeh

 

Sebagai anak muda yang terjun ke dunia politik pada 2016, Mohd. Ashraf tidak datang dengan banyak kelebihan kecuali keinginannya kembali berbakti di kampung halaman ketika dicalonkan pada PRN tersebut.

Keputusan untuk kembali ke Kota Siputeh yang bergelar ‘Putrajaya’ Pertama Kedah itu lahir daripada keinginan untuk membangunkan kampung halaman sendiri yang dilihatnya sedikit ketinggalan walaupun pernah gah suatu ketika dahulu.

“Saya masuk politik bukan sebab jawatan, tetapi sebab rasa gelisah melihat kampung sendiri ketinggalan. Kalau bukan orang tempatan yang bangun, siapa lagi?” katanya ketika ditemui di sebuah kafe di Jitra, Kubang Pasu baru-baru ini.

PROGRAM PENDIDIKAN DAN SOKONGAN PELAJAR

Menurut beliau, sebagai wakil rakyat di Kota Siputeh yang mempunyai populasi melebihi 50,000 penduduk dengan jurang generasi yang ketara, beliau perlu bijak mengatur strategi termasuk program serta aktiviti berkaitan.

“Golongan warga emas terutama berusia 60 tahun ke atas dan pelajar sekolah mendominasi, sementara sebahagian besar golongan muda termasuk belia berhijrah. Ekonomi masyarakat pula masih bertunjangkan sebahagian besarnya pesawah sementara selebihnya nelayan dan pekebun getah.

“Realiti ini memberi kesan besar kepada pendidikan. Sikap sebahagian ibu bapa yang kurang menitikberatkan persekolahan anak-anak membentuk kitaran keciciran yang berpanjangan.

“Data 2024 menunjukkan hampir 10,000 anak muda tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023 dan kawasan ini antara tertinggi di Kedah. Akhirnya ramai anak muda di sini hilang. Saya menjejaki mereka dan mendapati ada dalam kalangan mereka mewarisi kerja-kerja keluarga seperti pesawah atau nelayan,” katanya.

Menurut Mohd. Ashraf, kegagalan ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu anak-anak mahupun ibu bapa mereka dalam persekitaran masyarakat kampung yang penuh tradisi itu

“Aabila anak-anak ini tercicir, mereka bukan malas. Sistem di sekeliling mereka yang gagal sokong. Ini yang kita cuba betulkan,” ujarnya.

Demikian akses pendidikan turut menjadi penekanan wakil rakyat ini apabila Pusat Khidmat DUN tersebut turut menyediakan kemudahan tuisyen percuma untuk pelajar di kawasan itu terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan awam.

“Pusat tuisyen hanya tertumpu di Kodiang, sementara di Sanglang tiada. Ramai pelajar terpaksa berulang-alik ke Ayer Hitam bagi mendapatkan sokongan akademik. Jadi, saya buat program tuisyen ini,” katanya.

Bantuan pendidikan untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan tersebut juga diberi perhatian saban tahun melalui sumbangan wang tunai awal persekolahan melalui inisiatifnya sendiri.

“Tahun pertama saya buat program bantu 100 pelajar dengan sumbangan persekolahan sebanyak RM100 berupa baucar. Tahun kedua pula meningkat kepada 150 pelajar dengan bantuan bernilai RM150.

“Tahun ini kita bantu sebanyak 200 pelajar dengan wang tunai RM200 untuk membuat persiapan persekolahan. Program ini saya jayakan dengan kerjasama syarikat korporat yang ingin membantu. Kalau harap wang peruntukan ADUN tentu tidak mencukupi, jadi kita kena pandai cari jalan untuk bantu penduduk,” ujar beliau.

KEBAJIKAN, TURUN PADANG UNTUK KOMUNITI

Dalam aspek kebajikan pula, pendekatannya jelas iaitu turun padang, bukan menunggu borang dari penduduk ke pejabat dan hasil jalinan kukuh dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 80 pesakit terlantar dikenal pasti dan menerima Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT).
“Kalau tunggu senarai atas meja, ramai yang tercicir. Saya lebih percaya turun cari sendiri, ketuk pintu rumah. Setakat ini sebanyak 80 pesakit terlantar kita kumpul dan serah nama mereka kepada JKM untuk bantuan.
“Senarai ini kita dapat dengan turun padang dan pergi dari satu rumah ke rumah lain untuk cari sendiri mereka yang memerlukan. Semuanya diterima. Alhamdulillah,” ujarnya.

BATIK LINDUNGAN BULAN DAN INDUSTRI HILIRAN

Industri hiliran di Kota Siputeh juga dilihat sedikit berkembang dengan kehadiran wakil rakyat ini terutama dalam pembuatan batik apabila beliau memperkenalkan Batik Lindungan Bulan mengambil inspirasi daripada lagenda popular kawasan itu.

Menurut beliau, lebih membanggakan batik yang dihasilkan oleh komuniti Kota Siputeh tersebut kini semakin popular melalui beberapa siri promosi termasuk di luar negara seperti Jepun dan Thailand.

“Hasil batik ini adalah salah satu daripada produk Meko atau Made en Kodiang yang diwujudkan untuk membantu komuniti Kota Siputeh. Nama ini sudah dipatenkan sama seperti motif batik ini.

“Saya berharap produk Meko yang ingin kita bangunkan berkembang seperti jenama Muji dari Jepun seterusnya membantu ekonomi komuniti di Kota Siputeh,” katanya.

Sebagai persediaan, beliau turut menghantar anak-anak muda yang mempunyai bakar dalam bidang batik ini mendalami kemahiran di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD) yang menawarkan program sijil kemahiran.

VISI PEMBANGUNAN KOTA SIPUTEH

“Di sebalik cabaran semasa, Kota Siputeh memiliki sejarah gemilang. Berusia lebih 703 tahun, kawasan ini pernah menjadi kota pentadbiran Kedah Tua, ibarat Putrajaya pertama negeri Kedah

“Dari sudut logistik, Sanglang dan Kodiang mempunyai kelebihan laluan darat dan laut. Laluan kereta api pula dilihat lebih ekonomik, dengan Kodiang berpotensi menjadi hab pembangunan baharu selepas Arau dan Padang

Besar yang semakin sesak.

“Kodiang ini boleh jadi lapangan akhir ekonomi baharu. Arau dan Padang Besar sudah terlalu padat. Kita kena berani nampak potensi di utara Kedah. Saya ingin melihat pembangunan ini di Kota Siputeh,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN