Pembangunan menyeluruh demi penduduk DUN Kota Damansara

Pembangunan menyeluruh demi penduduk DUN Kota Damansara

Muhammad Izuan Ahmad Kasim turut serta dalam aktiviti gotong-royong dan penanaman pokok di Pangsapuri Blok Milia, Seksyen 7 Kota Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kassim terus komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk di kawasannya sentiasa diberi keutamaan melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan program berimpak tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan, pendekatan turun padang dan keterbukaan menerima maklum balas rakyat menjadi tunjang utama dalam pentadbirannya sejak mula berkhidmat.

 

Muhammad Izuan, 35, berkata, dalam aspek infrastruktur, kawasan Subang Bestari menyaksikan perkembangan positif apabila banyak jalan yang sebelum ini diuruskan oleh pemaju mula diserahkan secara berperingkat kepada pihak berkuasa tempatan.

“Antara projek yang mendapat perhatian adalah Jalan Persiaran Atmosfera, sebuah laluan yang tertangguh hampir 30 tahun dan kini berada di peringkat akhir sebelum kerja-kerja pembinaan dan penaiktarafan dilaksanakan sepenuhnya.

“Di Kota Damansara pula, kawasan perumahan kos rendah menjadi fokus utama apabila penyerahan jalan-jalan berhampiran PKNS kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya diselesaikan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Hasil penyerahan tersebut, banyak jalan diturap semula, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kualiti hidup penduduk setempat.

“Kerja-kerja penurapan turut dirancang di kawasan sekitar Masjid Kota Damansara 2 serta kawasan perumahan kos rendah berhampiran melalui proses tender yang sedang diusahakan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, di sebelah Subang, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan terus memainkan peranan dalam menangani isu gangguan anjing liar serta masalah pengurusan sampah yang sering dibangkitkan oleh penduduk.

Muhammad Izuan yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam undang-undang dan perdagangan dari Management & Science University (MSU) berkata, dari sudut pembangunan pendidikan, sebuah Sekolah Pendidikan Khas akan dibina di Seksyen 4, Kota Damansara pada tahun ini bagi memenuhi keperluan pendidikan murid berkeperluan khas.

 

Beliau turut mengadakan pertemuan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar serta pengetua pelbagai sekolah di kawasan DUN Kota Damansara bagi memahami cabaran semasa yang dihadapi institusi pendidikan.

“Tahun ini, fokus khusus diberikan kepada isu asas pendidikan seperti penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) serta isu buli di sekolah yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan.

“Bagi menangani isu buli, kerjasama dengan firma guaman akan diwujudkan untuk tujuan advokasi dan kesedaran, demi memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.

“Aduan berkaitan kes buli yang diterima di pusat khidmat rakyat akan ditangani melalui pertemuan bersama pihak sekolah bagi menyampaikan kebimbangan serta ketidakselesaan yang dialami oleh ibu bapa,” katanya.

Tambahnya, dalam aspek pengurusan bencana, isu banjir kekal menjadi antara keutamaan utama, khususnya di kawasan yang sering terjejas seperti Kampung Melayu Subang dan sekitarnya.
“Projek Tebatan Banjir Sungai Damansara yang ditender pada tahun lalu kini berada di peringkat pelaksanaan secara reka dan bina (design and build).

“Sesi khas pembentangan dan taklimat akan diadakan kepada penduduk Kampung Melayu Subang dan Desa Subang Perantau bagi memberi penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan projek tersebut.

“Sepanjang tahun lalu, empat kolam tadahan telah dikorek, disenggara dan dilengkapi pam air sebagai langkah awal mengurangkan risiko banjir kilat,” ujarnya.

Beliau berkata, pada tahun ini, kerja-kerja penyelenggaraan berkala akan diteruskan termasuk usaha mendalamkan sungai Damansara bagi meningkatkan kapasiti aliran air.

“Di Taman Setia Warisan, dinding penampan telah ditinggikan, manakala masalah banjir berulang di Jalan Tembusu akan ditangani melalui pembinaan tembok penahan yang lebih tinggi.

“Banjir kilat di Jalan Tembusu dikenal pasti berpunca daripada aliran air dari kawasan U5, justeru tiga kolam tadahan di kawasan tersebut akan terus diselenggara dan diperbesarkan.

“Sasaran utama pada tahun ini adalah memastikan Kampung Melayu Subang bebas daripada ancaman banjir, selaras dengan trend penurunan jumlah episod banjir sejak 2023,” katanya.

Dalam aspek kebajikan, katanya, lebih RM120,000 dibelanjakan tahun lalu bagi sumbangan kecemasan kepada golongan B40 dan ibu tunggal, melibatkan lebih 600 penerima dengan purata bantuan RM300 seorang.

“Tahun ini, tumpuan khusus diberikan kepada pemerkasaan ibu tunggal menerusi Program Penyelia Wanita Budaya (PWB) Kota Damansara yang merupakan antara program paling aktif di Selangor.

“Selain itu, caruman PERKESO selama setahun akan ditaja kepada 100 peniaga berlesen di tepi jalan sebagai perlindungan sosial kepada golongan bekerja sendiri,” terangnya.

Secara keseluruhannya, Muhammad Izuan optimis dengan kerjasama baik penduduk dan pelaksanaan perancangan tersusun, 2026 bakal menjadi tahun yang lebih sejahtera bagi seluruh warga DUN Kota Damansara. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN