PETALING JAYA: Pelakon, Kamal Adli mengakui dirinya sudah sehabis baik menjaga tingkah lakunya sejak bercerai dengan bekas isteri yang juga aktres, Uqasha Senrose pada Januari lalu.
Menurut Kamal, dia juga sentiasa menjaga batas pergaulannya terutamanya, dengan kaum wanita meskipun pada waktu bekerja demi menghormati tempoh iddah.
“Dalam tempoh sekarang ini memang perlu jaga semua perkara kan? Walaupun ketika bekerja kan? Walaupun pihak sana dalam iddah.
“Sehabis baik menjaga semua. Buat lawak buat bahagia. Tak cuba mahu rapat-rapat dengan mana-mana perempuan walaupun bukan waktu bekerja,” katanya di Threads.
Tambah Kamal, fokus utamanya kini hanya tertumpu pada puteri kesayangannya, Hawra Uqaira selain enggan berfoya-foya melakukan perkara tidak bermanfaat.
“Yang ada cuma anak saja dan bukan mahu menggedik di mana-mana tempat,” ujarnya.
Mengakui sukar untuk menelan segala keperitan hidup selepas berpisah, pelakon drama Dia Imamku itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada warganet yang menceriakan harinya.
“Pendam ini sakit juga ya. Rakyat, terima kasih sentiasa temankan saya. Allah rahmati semua orang.
“Saya sumpah kalian semua kaya raya dan bahagia. Saya hanya terlalu sayangkan Hawra,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum dengan kematangan Kamal yang menghormati tempoh iddah yang dijalani Uqasha.
Pada 12 Januari lalu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniak seorang cahaya mata, Hawra Uqaira.










