KUALA LUMPUR: Seramai enam lelaki termasuk seorang pegawai kanan polis dihadapkan ke empat Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM4.4 juta dan mengacukan pistol, awal bulan ini.
Pegawai polis yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) itu ialah Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan, 41; bersama lima lagi tertuduh iaitu Abd Samat Shaari, 44; Faridzuan Yahya, 31; Lim Cheal Kei, 51; Yeoh Choon Siang, 47; dan L Jijayendran, 31.
Bagaimanapun, kesemua lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing selepas dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim-hakim Suhaila Haron, Noridah Adam, Mazuliana Abdul Rashid dan Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut dua pertuduhan, Ahmad Ruzaini didakwa bersama Abd Samat, Faridzuan, Cheal Kei, Choon Siang dan Jijayendran melakukan rompakan dengan mengacukan pistol terhadap dua individu sehingga mendatangkan ketakutan kematian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Kesemua tertuduh turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang individu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga rumah di Kepong di sini di antara pukul 4 dan 8.10 pagi, 5 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam-peguam bela, John Ramesh Das, Marthavan Manikam serta R. Kirthiraj.
Kesemua mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap keenam-enam tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 25 Mei ini.
Pada 8 April lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan polis antara enam ditahan kerana dipercayai terlibat kes samun bersenjata membabitkan warga asing di Kepong mengakibatkan kerugian kira-kira RM4.4 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Masus berkata, anggota polis terbabit yang telah ditahan tugas dan mempunyai rekod kesalahan dadah, dikatakan bertindak sebagai koordinator kumpulan berkenaan.
Sementara dua lagi tertuduh yang bekerja sebagai pengawal peribadi berlesen, dipercayai membekalkan senjata api untuk digunakan dalam jenayah tersebut.
Kumpulan itu menyasarkan tiga kediaman warga asing sekitar Kepong dengan turut melarikan tiga kenderaan mewah. – UTUSAN










