TELUK INTAN: Seorang wanita berusia 103 tahun di Kampung Tanjung Sari, Teluk Baharu di sini masih mampu menunaikan ibadah puasa walaupun sudah lanjut usia.
Atimah Narijan yang dilahirkan pada 21 Julai 1923 masih sihat daripada segi fizikal dan bersemangat untuk berpuasa sepanjang Ramadan.
Anak keduanya, Zainah Tokija, 80, berkata, ibunya tetap berkeras mahu berpuasa walaupun mereka sekeluarga bimbang dengan tahap kesihatannya.
“Memang saya minta dia kalau tidak larat jangan berpuasa kerana usianya sudah terlalu tua, tetapi dia tetap mahu berpuasa walaupun dilarang.
“Asalkan dia mampu berpuasa, biarlah dia berpuasa. Dia kata mahu berpuasa sampai habis. Saya bersyukur kerana ibu diberikan kesihatan yang baik,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Zainah, ibunya yang mempunyai enam anak, 40 cucu dan tujuh cicit itu tidak cerewet dalam soal makanan sepanjang Ramadan.
Katanya, ketika berbuka puasa, warga emas itu menikmati nasi bersama lauk dan kicap selain kurma dan sedikit buah-buahan.
“Selebihnya dia hanya makan mengikut apa yang kami sediakan. Ibu juga masih mampu mendirikan solat walaupun dalam keadaan duduk.
“Tiada amalan rahsia yang ibu lakukan untuk kekal sihat, dia menjalani kehidupan sama seperti orang lain,” katanya.
Bagaimanapun, ujar Zainah, faktor usia menyebabkan penglihatan dan pendengaran ibunya semakin berkurangan selain tidak lagi mampu berjalan selepas terjatuh di rumah kira-kira lima bulan lalu.
Katanya, dia dan adik-beradiknya sentiasa bergilir menjaga ibu mereka bagi memastikan keselamatan serta keperluan hariannya terpelihara.
“Mata ibu masih nampak dan masih kenal anak, cucu serta cicit. Kami tidak mahu membiarkan dia seorang diri kerana bimbang dia akan terjatuh seperti sebelum ini,” katanya.-UTUSAN










