PETALING JAYA: Seorang maut manakala tiga cedera dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 438.5, Jalan Hulu Selangor, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Sungai Buaya di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan pada 6.30 pagi berkaitan kejadian terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua Perodua Myvi dan Honda Jazz yang membabitkan empat mangsa.
“Ada dua mangsa dalam kereta Perodua Myvi pertama iaitu seorang lelaki dan wanita.
“Mangsa wanita yang tercampak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa lelaki tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, untuk kereta Perodua Myvi kedua membabitkan seorang wanita yang tersepit dan cedera parah.
“Manakala seorang lagi mangsa dalam kereta Honda Jazz hanya cedera ringan dan keluar sendiri.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pukul 7.13 pagi. Mereka kemudian diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN









