HULU SELANGOR: Kerajaan berbelanja sebanyak RM2 juta bagi membaiki Laluan Persekutuan FT1208, Seksyen 2.0, Jalan Sungai Buaya, di sini yang terlibat dalam insiden runtuhan cerun pada Isnin lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembaikan jalan akan bermula dalam masa terdekat, bagaimanapun kenderaan-kenderaan ringan akan dibenarkan lalu bermula esok.
Kata beliau, anggaran kos keseluruhan berjumlah RM2 juta itu merangkumi kerja pengukuhan dan penstabilan cerun, pembaikan sistem perparitan serta perlindungan permukaan cerun.
“Semasa (proses) pelaksanaan kerja-kerja pembaikan jalan ini, kenderaan ringan sahaja dibenarkan untuk lalu, sementara trak (atau) kenderaan berat tidak dibenarkan kerana bimbang ia terlalu berat dan akan mengganggu (proses tersebut).
“Saya berharap ada kesabaran dari mereka yang menggunakan jalan ini. Saya difahamkan kerja-kerja pembaikan jalan ini akan mengambil masa selama tiga bulan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Alexander bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turun meninjau lokasi runtuhan.
Pada Selasa lalu, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) bersama JKR Hulu Selangor sudah menjalan pemeriksaan tapak dan hasil siasatan mendapati kegagalan cerun berlaku pada kawasan downslope sepanjang 33 meter dengan ketinggian cerun 13 meter.
Siasatan tersebut turut mendapati punca runtuhan adalah disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna, seterusnya meningkatkan kadar resapan air larian permukaan terutama susulan taburan hujan yang tinggi.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kenderaan-kenderaan berat boleh menggunakan jalan alternatif sementara menunggu kerja-kerja pembaikan selesai dijalankan.
“Kira-kira kurang lebih 17 kilometer (KM) jalan alternatif untuk kenderaan berat,” katanya.
Tambahnya, JKR Hulu Selangor dengan kerjasama syarikat konsesi, Road Care Sdn. Bhd. sudah melaksanakan langkah mitigasi segera.
“Antaranya, pemasangan kanvas bagi melindungi permukaan cerun, pemasangan bag pasir untuk mengelakkan aliran air memasuki kawasan runtuhan.
“Selain itu, turut dilaksanakan pelan pengurusan trafik melibatkan pemasangan papan tanda amaran dan penghadang jalan,” jelasnya. – UTUSAN







