Pemandu BMW maut nahas babitkan tiga kereta, seorang pejalan kaki

Pemandu BMW maut nahas babitkan tiga kereta, seorang pejalan kaki

BEBERAPA anggota bomba bertungkus-lumus untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta dan seorang pejalan kaki berhampiran Masjid Jalan Baru, Taman Pauh, Perai, Pulau Pinang.-IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pemandu kereta jenis BMW maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kereta berhampiran Masjid Jalan Baru, Taman Pauh, Perai di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Faizwan Noor Salihi, 29, manakala dua mangsa yang cedera pula masing-masing merupakan penumpang kereta BMW tersebut serta seorang pejalan kaki yang kebetulan berada di lokasi ketika kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 2.31 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota bertugas ke lokasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, selain BMW, dua lagi kenderaan yang terbabit dengan kemalangan itu ialah sebuah Perodua Myvi dan sebuah Proton Persona.

“Akibat kemalangan itu, dua daripada mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta BMW didapati berada dalam keadaan tersepit manakala seorang pejalan kaki turut mengalami kecederaan.

“Difahamkan, ketika kejadian, Proton Persona dan Perodua Myvi tidak bergerak dan diletakkan di bahu jalan. Pemandu kedua-dua kenderaan tersebut juga dilaporkan tiada di lokasi ketika itu,” katanya di sini, hari ini.

Jelas beliau, kedua-dua mangsa yang tersepit kemudian berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 3.22 pagi, namun, salah seorang daripada mereka iaitu pemandu BMW tersebut telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akibat cedera parah.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 4.11 pagi selepas komander operasi memastikan tidak wujud sebarang kemerbahayaan lain di lokasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini