GOMBAK: Seorang pemandu lori dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat kemalangan membabitkan lori kontena, lori treler dan kereta jenis Perodua Pesona.
“Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun tersepit di dalam lori dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan manakala dua lagi terselamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis berkata, mangsa berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba pada pukul 6.51 pagi.
“Dua lagi mangsa dibawa keluar oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai.
“Kedua-dua mereka hanya mengalami cedera ringan,” katanya. – UTUSAN










