UniMAP perkasa suara mahasiswa 

UniMAP perkasa suara mahasiswa 

SEBAHAGIAN peserta Bengkel Pencerakinan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dan Makmal Pengalaman Kampus Holistik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam landskap baharu pendidikan tinggi negara yang sedang melalui fasa transformasi menyeluruh, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tampil proaktif dengan memperluas ruang libat urus strategik kepada mahasiswa bagi menyuarakan pandangan dan aspirasi mereka. 

Inisiatif itu dilaksana selaras dengan agenda transformasi di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, sekali gus memperkukuh usaha menyokong agenda kemenjadian pelajar secara lebih inklusif dan holistik.

Menerusi Bengkel Pencerakinan RPTM 2025–2035 dan Makmal Pengalaman Kampus Holistik UniMAP yang berlangsung di Kuala Lumpur, kepimpinan pelajar termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Kolej Kediaman dan wakil persatuan serta fakulti duduk semeja bersama pengurusan tertinggi universiti dalam sesi libat urus yang bersifat terbuka dan konstruktif.

Pendekatan itu memperlihatkan anjakan budaya tadbir urus universiti daripada model tradisional berpusatkan pentadbiran kepada kerangka kolaboratif yang meletakkan mahasiswa sebagai rakan strategik dalam pembangunan institusi.

Inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kepada makmal dan dialog kemenjadian mahasiswa yang diadakan sebelum ini termasuk di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, susulan pelancaran RPTM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keterangkuman, kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah menegaskan, penglibatan mahasiswa dalam sesi pencerakinan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu komitmen nyata universiti untuk memastikan setiap dasar dirangka berteraskan realiti dan suara pelajar sendiri.

“Kita mahu mahasiswa menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan. Mereka bukan sekadar penerima manfaat, tetapi penyumbang idea dan rakan kongsi dalam menentukan masa depan universiti,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengangkat konsep perkongsian tanggungjawab antara pengurusan universiti dan mahasiswa dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Tambahnya, pelibatan aktif mahasiswa membolehkan universiti merangka pelan tindakan yang lebih responsif terhadap isu sebenar di lapangan, termasuk aspek akademik, kebajikan, kemudahan kampus, kesejahteraan mental serta pembangunan kepimpinan dan sahsiah.

“Apabila mahasiswa terlibat secara langsung dalam proses strategik ini, mereka bukan sahaja memahami hala tuju universiti, malah membina rasa kepunyaan dan tanggungjawab bersama. Inilah asas kepada pembentukan graduan yang matang, berdaya tahan dan berintegriti,” jelasnya selepas program tersebut.

Sepanjang bengkel dan makmal berkenaan, perbincangan berlangsung secara dinamik dengan mahasiswa mengemukakan pandangan secara terbuka, selain mencadangkan beberapa penambahbaikan berimpak tinggi yang boleh disepadukan dalam Perancangan Strategik UniMAP 2026–2030.

Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Nurshakirah Roslan menyifatkan pendekatan itu sebagai satu pengalaman bermakna yang mencerminkan keterbukaan pengurusan universiti.

“Kami benar-benar diberi ruang untuk bersuara. Pandangan yang dikemukakan bukan sahaja didengar, malah dibincangkan secara serius untuk diselaraskan dengan perancangan strategik universiti,” katanya.

Bagi Wakil Majlis Penghuni Kolej Kediaman, Nur Anis Athirah Zulkifli, fokus terhadap kesejahteraan dan pengalaman kampus amat signifikan dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif dan seimbang.

“Perbincangan ini memberi peluang untuk memperkukuh aspek kebajikan dan komuniti di kolej kediaman agar mahasiswa dapat melalui pengalaman kampus yang lebih holistik,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN