'Tiada unsur khianat, hanya kecuaian' -Chegubard

‘Tiada unsur khianat, hanya kecuaian’ -Chegubard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard memberitahu, kemalangan jalan raya yang membabitkannya tengah malam tadi tidak mempunyai unsur khianat atau sabotaj.

Sebaliknya, kemalangan di Kilometer 7.3 Jalan Chengkau-Pilin-Lubuk Cina, di bawah jambatan Lebuhraya Pedas–Linggi dekat Rembau itu adalah  kecuaian dirinya sendiri.

Katanya, kejadian tengah malam itu berlaku ketika dia dalam perjalanan menuju ke Kampung Lada, Chengkau, Rembau sebelum secara tiba-tiba seekor kambing melintas jalan.

“Saya mengelak kambing tersebut dan cuba membuat pusingan U. Namun, tayar kenderaan masuk ke bahu jalan yang licin.

“Apabila saya brek, kenderaan terus terbabas lalu melanggar tebing jalan. Memang tiada apa-apa sabotaj, ini kecuaian saya sendiri dan perkara sudah nak jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau turut memaklumkan dirinya terselamat serta tiada sebarang kecederaan dialaminya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 12.30 malam tadi

“Seekor haiwan yang tidak dikenal pasti secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan menyebabkan pemandu cuba mengelak ke kiri sebelum hilang kawalan,” katanya.

Menurutnya, kenderaan berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian tayar dan rim hadapan kiri, bumper dan bonet hadapan, cermin serta lampu hadapan kiri.

Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN