Mahkamah Tinggi halang Chegubard sebar fitnah berkait pegawai kanan TDM

Mahkamah Tinggi halang Chegubard sebar fitnah berkait pegawai kanan TDM

CHEGUBARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan injunksi interim (sementara) seorang pegawai kanan tentera terhadap aktivis politik, Chegubard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitnya.

Permohonan itu difailkan Penolong Ketua Staf (Risikan) Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim terhadap Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Faridhulathroth, 52, selaku plaintif ketika dihubungi media.

Tambahnya, kebenaran terhadap permohonan injunksi sementara itu diberikan oleh Hakim Roslan Mat Nor, Selasa lalu.

“Perintah interim itu yang akan kekal berkuat kuasa sehingga pelupusan saman, menghalang Chegubard dan wakilnya daripada menerbitkan, menerbitkan semula, menyebarkan atau terus menyebarkan sebarang kenyataan, imej atau rujukan mengenai plaintif, kecuali jika perlu bagi tujuan prosiding mahkamah.

“Mahkamah turut mengarahkan supaya penerbitan dan rujukan dalam talian yang berkaitan di bawah kawalan defendan disembunyikan, selain mengenakan kos RM3,000,” katanya.

Mohamed Baharudeen turut menyatakan kebenaran itu diberikan selepas mahkamah mempertimbangkan afidavit kedua-dua pihak serta hujahan bertulis dan lisan semua pihak.

Katanya, mahkamah turut mengambil kira pendekatan berhati-hati yang lazim diguna pakai dalam memberikan relif injunksi bagi prosiding fitnah, khususnya bagi mengimbangi perlindungan terhadap reputasi plaintif dan hak kebebasan bersuara defendan.

Sementara itu, Chegubard diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Oktober ini.

Pada 21 April lalu, Faridhulathroth selaku plaintif memfailkan saman terhadap Chegubard yang dinamakan sebagai defendan melibatkan enam kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik oleh aktivis itu menerusi hantaran di Facebook antara 9.26 pagi, 31 Disember 2026 dan 5.31 petang, 17 Januari 2026.

Plaintif mendakwa hantaran itu membawa maksud beliau terlibat dalam rasuah, pengubahan wang haram, salah guna kuasa serta pelbagai kegiatan jenayah lain.

Kenyataan itu juga didakwa menjejaskan integriti, reputasi serta kelayakannya sebagai pegawai kanan TDM, selain mendedahkan plaintif kepada kebencian, penghinaan dan rasa malu sehingga mengalami prejudis yang serius.

Pada 21 Januari lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan tentera membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegubard berhubung beberapa dakwaan yang disebarkan di media sosial.

Ia berkenaan penyiaran beberapa hantaran di Facebook yang mengandungi tuduhan palsu dan berunsur fitnah, termasuk dakwaan rasuah, penglibatan dalam ‘operasi sulit’ yang menyalahi undang-undang serta kewujudan safe house bagi menyimpan wang tunai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN