Tiada rakyat Malaysia terjejas situasi tidak menentu di Mexico

Tiada rakyat Malaysia terjejas situasi tidak menentu di Mexico

SEBUAH lori dibakar oleh kumpulan jenayah terancang sebagai tindak balas terhadap operasi untuk menangkap Nemesio. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terjejas akibat kekacauan di beberapa buah negeri di Mexico susulan operasi keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City, sedang memantau rapi situasi keselamatan yang tidak menentu di neara terbabit.

Wisma Putra berkata, kedutaan itu turut mengeluarkan nasihat perjalanan yang menggesa rakyat Malaysia yang kini menetap atau melancong ke Mexico untuk sentiasa berwaspada, berhati-hati, dan berhemah pada setiap masa.

“Ini terutamanya di kawasan di mana operasi keselamatan sedang dijalankan. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pihak Kedutaan juga mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas berikutan insiden tersebut,” katanya hari ini.

Katanya, keutamaan kementerian ini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara.

Dengan kerjasama erat bersama Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City, Kementerian ini akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.

Rakyat Malaysia di Mexico yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City melalui talian +6016 – 810 0579 (52-155) 2080 8355 [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN