PETALING JAYA: Hari ini, suasana pilu bagai menyelubungi hati seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan pelakon, Amyza Aznan selepas anaknya, Andre Mikhail disahkan meninggal dunia, malam tadi.
Tiada kata yang boleh digambarkan apabila seorang ibu terpaksa reda dengan pemergian anaknya yang sudah berjuang melawan kanser paru-paru sejak setahun yang lalu.
Lebih meruntun hati, tangisannya di saat melepaskan kucupan terakhir buat Sang Anak sebelum dikebumikan turut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap ramai pihak.
Namun, pemergian itu tidak putus-putus diiringi doa dan harapan agar pelakon itu diberikan kekuatan untuk mengharungi kehidupan selepas kehilangan insan tersayang.
“Semoga kak Amyza terus diberi kekuatan. Kita orang luar ini pun menangis tak henti setiap kali tengok video. Kehilangan seorang anak yang terlalu kita sayang Allahuakbar terlalu sakit.
“Pemergian di bulan Ramadan bulan yang mulia. Semoga kita juga dikurniakan pengakhiran yang baik,” kongsi Anzalna Nasir di Threads.
“Seorang ibu itu akan rapuh apabila anaknya diambil atau dipisahkan. Ibu yang sekuat mana hatinya akan luluh. Dalam hatinya Allah saja yang tahu. Sungguh pun kita tahu dia nampak kuat. Seorang ibu itu memang kuat,” komen Nourul Depp di Instagram.
“Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dan kesabaran yang luar biasa buat kak Amyza sekeluarga. Semoga Allah tempatkan anakanda di kalangan para solihin,” kata Siti Nordiana.
Difahamkan, jenazah Andre Mikhail telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur sekitar 10.30 malam semalam selepas setahun melawan kanser paru-paru.
Tidak terhenti di situ, kehidupan Amyza juga terus teruji selepas pelakon itu memaklumkan anak keduanya, Adrian Adam disahkan menghidap kanser tulang.











