Hamzah fail saman RM100 juta terhadap Redzuan

Hamzah fail saman RM100 juta terhadap Redzuan

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap pengasas parti itu, Datuk Seri Redzuan Yusof.

Ia berhubung dakwaan beliau mengatur enam ahli Parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023.

Enam ahli Parlimen terbabit ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Januari lalu menerusi firma guaman Messrs Siddiq Azani & Co dengan menamakan Redzuan sebagai defendan.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut, Hamzah menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi am dan masing-masing RM25 juta bagi ganti rugi teruk serta teladan.

Beliau turut memohon mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan hingga penyelesaian penuh.

Selain itu, Hamzah memohon perintah supaya Redzuan menarik balik kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat menerusi media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu, mengikut terma dipersetujui pihaknya.

Hamzah mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataan tersebut yang disifatkannya sebagai palsu, berniat jahat dan menjejaskan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu.

Antara lain, Hamzah berkata, Redzuan mendakwa beliau menekan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya meletakkan jawatan, menggerakkan enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar serta mensabotaj parti.

Susulan itu, beliau menghantar surat tuntutan kepada Redzuan pada 6 November tahun lalu.

Bagaimanapun, firma guaman Messrs Cheah Teh & Su yang mewakili Redzuan membalas pada keesokan harinya dengan menafikan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu membuat kenyataan dipertikaikan.

Redzuan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau telah menyerahkan kepada pasukannya untuk menjalankan kerja-kerja prosiding bagi tindakan lanjut.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut kerana bimbang kenyataan itu bersifat prejudis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN