10 ahli Parlimen PKR mungkin tolak RUU pisah peranan Peguam Negara

10 ahli Parlimen PKR mungkin tolak RUU pisah peranan Peguam Negara

RAFIZI Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: 10 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan menolak atau mengambil pendirian berkecuali ketika proses pengundian Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 sekiranya semua syor penambahbaikan terhadap cadangan akta itu ditolak kerajaan.

Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli (PH-Pandan) berkata, keputusan berkenaan hanya akan dimuktamadkan selepas mengambil kira dapatan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

Katanya, pandangan serta syor yang dikemukakan ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) turut akan diteliti sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Sekiranya kerajaan tetap berkeras menolak semua cadangan penambahbaikan RUU berkenaan, kami perlu membuat keputusan memandangkan kelulusan RUU ini memerlukan majoriti dua pertiga.

“Perkara terakhir yang kerajaan mahukan ialah jangan memaksa kami ke sudut yang tersepit,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Menurut Rafizi, kerajaan perlu mengambil serius syor penambahbaikan yang dikemukakan memandangkan bilangan 10 Ahli Parlimen atau kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan 31 ahli Parlimen PKR bukan jumlah yang kecil.

“Kami telah menyuarakan pandangan dengan baik, namun ia langsung tidak diambil kira sedangkan cadangan tersebut bukan sesuatu yang tidak munasabah.

“Jumlah 10 Ahli Parlimen daripada PKR sahaja adalah besar. Jadi kita tunggu mesyuarat Jemaah Menteri dan perkembangan selepas itu, selain mengambil kira pandangan parti lain.

“Sekiranya setiap parti mempunyai pandangan berbeza, ia bermakna tidak mudah untuk kerajaan memperoleh sokongan dua pertiga. Justeru, kerajaan tidak rugi untuk mengambil kira dan memperkemas RUU ini dalam suasana semua pihak menyokong,” katanya.

Rafizi berkata, RUU berkenaan wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) selari dengan semangat pemisahan kuasa antara cabang Eksekutif dan Perundangan.

Katanya, jawatankuasa tersebut perlu mendapatkan maklum balas serta pendirian rentas parti daripada Ahli Parlimen bagi menambah baik cadangan pindaan Perlembagaan sedia ada.

“Fungsi Parlimen perlu dimasukkan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya, dengan calon yang melepasi tapisan prosiding pengesahan perlu diundi di Dewan Rakyat sebelum diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Fungsi Parlimen juga dicadangkan dimasukkan dalam proses pemecatan Pendakwa Raya melalui mekanisme yang membolehkan Dewan Rakyat mengemukakan usul untuk memulakan proses tribunal terhadap Pendakwa Raya yang memerlukan sokongan undi dua pertiga,” katanya.

Tambah beliau, tempoh lantikan Pendakwa Raya selama tujuh tahun adalah terlalu panjang dan wajar dipendekkan kepada empat tahun kerana ia berpotensi menjadikan individu yang dilantik terlalu berkuasa merentasi beberapa kerajaan.

Katanya, tempoh yang terlalu lama juga boleh memisahkan kuasa rakyat yang dizahirkan di peti undi daripada memberi makna kepada perjalanan pentadbiran undang-undang.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 berkaitan pelantikan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.

RUU itu selaras dengan usaha pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara melalui peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya, selain meminda perkara berkaitan kedua-dua perjawatan tersebut.

Cadangan akta yang akan dikuatkuasakan selepas diluluskan Parlimen itu memperuntukkan Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

Sebaliknya, pelantikan berkenaan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas calon dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta diluluskan Majlis Raja-Raja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN