Tiada kompromi, Maritim Malaysia janji siasatan menyeluruh

Tiada kompromi, Maritim Malaysia janji siasatan menyeluruh

MOHD. ROSLI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan penuh dan telus terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan atau undang-undang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, pendirian itu selari dengan prinsip ketelusan serta akauntabiliti yang ditegaskan kerajaan.

Menurutnya, setiap dakwaan salah laku akan diteliti secara profesional tanpa sebarang kompromi atau campur tangan daripada mana-mana pihak berkepentingan.

“Saya menyambut penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setiap aduan terhadap penjawat awam mesti disiasat mengikut undang-undang.

“Setiap dakwaan salah laku akan disiasat sewajarnya tanpa campur tangan manamana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebarang aduan terhadap mana-mana pegawai awam mestilah disiasat dengan teliti mengikut lunas undang-undang, bukannya dibuat berasaskan persepsi atau dorongan politik.

Malah, Anwar menegaskan siasatan yang dijalankan juga tidak boleh dilaksanakan secara tergopoh-gopoh.

Tambah Mohd. Rosli, sebarang tindakan disiplin hanya akan diambil selepas siasatan menyeluruh dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara dan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan tidak terjejas.

“Tanpa integriti dan akauntabiliti, kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan Maritim Malaysia boleh terhakis secara beransur-ansur.

“Sepanjang tahun lalu, Maritim Malaysia merekodkan 19 kes salah laku pegawai dan anggota yang melibatkan kes rasuah, tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah serta pelanggaran tatakelakuan perkhidmatan awam.

“Daripada jumlah itu, tiga pegawai telah dibuang kerja, tiga lagi ditangguh pergerakan gaji, sembilan dikenakan amaran, manakala empat pegawai lain dibebaskan selepas prosiding dan siasatan lengkap dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN