PETALING JAYA: Penyusutan margin pada suku keempat tahun kewangan 2025 menekan prestasi Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) apabila keuntungan bersihnya merosot serta gagal memenuhi ramalan pasaran.
Keadaan tersebut mendorong firma penyelidikan melakukan semakan turun unjuran mereka susulan kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih yang susut 14 peratus tahun ke tahun.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keputusan suku keempat tahun kewangan 2025 adalah di bawah jangkaan berikutan jurang jualan dan kos yang lebih rendah, kemungkinan disebabkan pelarasan caj harga gas secara retrospektif.
“Kami menganggarkan keputusan suku keempat tahun kewangan 2025 sekitar RM3.00/mmBTU, lebih rendah berbanding suku sebelumnya. Tekanan margin menjejaskan keuntungan keseluruhan walaupun jumlah jualan gas meningkat.
“Justeru, kami menurunkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak tujuh dan lapan peratus, mengambil kira trend penurunan harga gas domestik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, Gas Malaysia merekodkan untung bersih sebanyak RM381.7 juta berbanding RM441.4 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM7.34 bilion daripada RM8.04 bilion.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 8.5 sen sesaham berjumlah RM109.14 juta, yang akan dibayar pada 24 April 2026.
Selain itu, perbelanjaan modal (capex) yang tinggi pada tahun lalu turut menyebabkan syarikat beralih kepada kedudukan hutang bersih sepanjang suku berkenaan.
Bagaimanapun, Maybank IB berkata, keadaan itu dijangka diimbangi oleh potensi peningkatan keuntungan pengedaran susulan kenaikan tarif di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) bagi 2026-2028.
Sementara itu, MBSB Research berkata, keputusan Gas Malaysia secara keseluruhan adalah selari dengan jangkaan, merangkumi 93 peratus daripada anggaran konsensus.
Hasil kumpulan tersebut susut kira-kira 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM7.34 bilion berbanding RM8.04 bilion sebelumnya, didorong oleh faktor harga jualan purata gas asli dan jumlah jualan yang lebih rendah.
“Untung kasar turun 12.1 peratus tahun ke tahun kepada RM521.4 juta. Namun, kedudukan kukuh syarikat sebagai peruncit gas asli utama serta inisiatif pertumbuhan kepada rumusan tenaga lebih bersih dijangka menyumbang prospek positif.
“Ini termasuk operasi stesen suntikan biometana yang berpusat di Kluang, Johor mulai separuh kedua 2025 yang diramal menjana pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi jangka sederhana,” jelas firma itu.
MBSB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) pada RM4.48 sesaham, manakala Maybank IB menetapkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran RM3.90. – UTUSAN










