KENNER: Seorang lelaki bernama ‘Santa Claus’ merupakan antara individu yang ditahan dalam satu operasi penyamaran polis berskala besar bagi menangkap pemangsa seksual kanak-kanak.
Claus, yang sebelum ini dikenali sebagai George Quigley, ditahan di Kenner, sebuah kawasan pinggir bandar New Orleans, selepas didakwa mengatur pertemuan secara bersemuka dengan seorang detektif yang menyamar sebagai remaja lelaki berusia 15 tahun.
Suspek berdepan pertuduhan menggunakan komputer atau internet secara haram untuk memujuk atau mengajak individu bawah umur bagi tujuan seksual serta berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang remaja
Ketua Polis Kenner, Keith Conley, memberitahu The Guardian, Claus turut menghantar gambar lucah memaparkan tubuhnya kepada pegawai penyiasat yang menyamar itu ketika mereka berhubung secara dalam talian.
Menurut polis, apabila Claus tiba di lokasi pertemuan yang ditetapkan, para penyiasat menghampirinya dan dia menyerah diri tanpa memberikan sebarang tentangan.
Jabatan Polis Kenner dalam satu kenyataan berkata, penampilan fizikal suspek menyerupai watak tradisional Santa Claus sempena sambutan Krismas. Para penyiasat turut menemui gambar-gambar lelaki berusia 75 tahun itu yang berpakaian atau berperanan sebagai Santa Claus untuk sesi bergambar.
“Setiap hari kami mengingatkan orang ramai tentang betapa mudahnya kanak-kanak terdedah kepada bahaya di media sosial dan platform permainan dalam talian.
“Kini kami telah menahan seorang individu berpakaian sebagai Santa Claus yang mengajak ibu bapa meletakkan anak-anak kecil di atas ribanya untuk sesi bergambar. Kes ini sepatutnya menjadi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga,” kata Conley.










