KANGAR: Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) antara lokasi yang berpotensi di Perlis untuk diperkenalkan kepada pelabur Perancis yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia.
Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim berkata, peluang itu diambil berikutan eksport Malaysia ke kesatuan Eropah pada masa ini telah menunjukkan peningkatan termasuk produk utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), barangan daripada minyak sawit serta peralatan pengangkutan.
Katanya, rekod itu membuktikan keupayaan Malaysia untuk terus kekal berdaya saing, inovatif dan terbuka kepada perdagangan walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
Beliau berkata, trend tersebut mencerminkan realiti jelas iaitu Malaysia sudah pun berakar kukuh dalam rantaian bekalan global dan berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan Eropah terhadap komponen, peralatan serta produk pembuatan bernilai tinggi.
“Melihat kepada aliran peningkatan ini, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Perancis akan memperkenalkan Perlis terutama CVIA kepada pelabur Perancis yang berhasrat mengembangkan perniagaan di Malaysia.
“Dalam sektor pendidikan pula, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan turut dihubungi oleh pihak kedutaan besar untuk mempertimbangkan beberapa permohonan daripada calon mahasiswa dari universiti-universiti di Perancis yang berminat menyertai program pertukaran pelajar tempoh jangka pendek untuk menyambung pelajaran di Perlis dalam masa terdekat ini.
“Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) turut menawarkan peluang pengajian kepada masyarakat komuniti Muslim di luar negara termasuk Perancis,” katanya mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan sumbangan kecil MAIPs berjumlah RM4,000 kepada Masjid Les Abeilles di Paris, Perancis baru-baru ini.
Eldeen Husaini berkata, penyerahan sumbangan ‘Dari Perlis ke Paris’ itu mencerminkan komitmen berterusan MAIPs memperkukuh ukhuwah serta menyokong usaha kebajikan masyarakat Islam di peringkat antarabangsa.
“Sumbangan berkenaan juga pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan ahli kariah dan golongan yang memerlukan di Masjid Les Abeilles ini,” katanya.
Sementara itu, baginda bertitah, sudah tiba masanya Perlis membuka peluang pelaburan kepada usahawan Perancis yang sedang giat mencari peluang baharu di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
“Antara sektor yang boleh diterokai bersama di Perlis adalah bidang pertanian moden, pendidikan berkualiti tinggi dan teknologi hijau,” titah baginda.
Baginda juga menyokong program infaq kepada masjid sekitar Paris sempena Ramadan kali ini yang digerakan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Perancis bersama komuniti Islam di kota raya tersebut. – UTUSAN










