Pelabur asing beli bersih RM292.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu - Utusan Malaysia

Pelabur asing beli bersih RM292.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu

gaji
Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti domestik minggu lalu dengan nilai pembelian bersih berjumlah RM292.2 juta, menurut MIDF Research.

Ia merupakan pembelian bersih pertama selepas jualan bersih lapan minggu berturut-turut.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing telah membeli sektor seperti utiliti (RM285.8 juta), perkhidmatan kewangan (RM105.3 juta) dan telekomunikasi dan media (RM100.3 juta).

“Sektor yang menyaksikan jualan bersih paling kukuh ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM223.2 juta), perladangan (RM68.5 juta) dan tenaga (RM31.6 juta).

“Begitu juga institusi tempatan meneruskan trend belian bersih mereka untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM143.3 juta,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut MIDF, peruncit tempatan mengekalkan rentetan jualan bersih mereka untuk minggu ketujuh berturut-turut, berjumlah RM435.5 juta.

“Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) merosot bagi pelabur runcit dan asing masing-masing sebanyak 10.9 dan 15.5 peratus.

“Walau bagaimanapun, institusi tempatan melihat sedikit peningkatan sebanyak 0.2 peratus,” ujarnya.

MIDF Research dalam Laporan Aliran Modal minggu berakhir 26 April 2024 berkata, Bank Dunia telah mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2024 untuk Malaysia pada 4.3 peratus.

Ini walaupun ia mengakui potensi peningkatan daripada kenaikan harga minyak akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Katanya, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam 2024 dijangka didorong terutamanya oleh penggunaan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×